SEREMBAN 25 Mei - Mungkin ramai sudah melupakan seorang pelatih perempuan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), A. Tamilarasi, 18, yang dilaporkan koma dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini Februari lalu.
Pelatih yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Taman Desa Cempaka, Nilai dekat sini itu dimasukkan ke HTJ selepas dikatakan demam panas sewaktu menjalani latihan PLKN di Kem PDS Resort, Pasir Panjang, Port Dickson.
Namun selepas hampir empat bulan, Tamilarasi masih terlantar di atas katil hospital HTJ itu dalam wad pengasingan dengan ahli keluarga menemaninya 24 jam sehari secara bergilir-gilir.
Keadaan semakin menyedihkan apabila pelajar yang aktif dan bercita-cita menjadi jururawat itu kini dipasang tiub ke perut melalui rongga hidung untuk menyalurkan susu, manakala lehernya pula terpaksa ditebuk untuk memudahkan pernafasan.
Ibunya, A. Krishnamary, 40, berkata, Tamilarasi tidak mampu bercakap, malah tidak mengenali mereka di sekelilingnya selain mendongakkan kepala dan merenung tajam ke siling hospital itu.
Katanya, Tamilarasi memasuki kem di Port Dickson pada 2 Januari lalu dan beberapa hari kemudian menghidap demam panas, bagaimanapun pihak pengurusan kem tidak merujuknya ke hospital, sebaliknya memberi Panadol selepas mendapati keadaannya tidak begitu serius.
Kata Krishnamary, suaminya, K. Anandan, 41, telah pergi ke kem berkenaan pada 2 Februari bagi membawa pulang anaknya itu kerana cuti Tahun Baru Cina, tetapi terkejut melihat keadaan Tamilarasi.
''Kami kemudian membawanya ke klinik untuk rawatan lanjut dan pada 8 Februari, dia dimasukkan ke HTJ dan berada dalam keadaan koma.
''Doktor hanya memberitahu anak saya dijangkiti virus pada organ utama termasuk otak, leher dan jantung. Apa jenis virus itu, masih tidak dapat dipastikan," ujarnya.
Kini, memandangkan keadaan Tamilarasi yang semakin kritikal, Krishnamary hanya balik ke rumahnya di Nilai sekali dalam seminggu.
''Kami tidak tahu apa yang perlu dibuat lagi. Hati saya tersentuh setiap kali melihat Tamilarasi menghembuskan nafas," katanya sambil menjelaskan pihak pengurusan kem ada datang melawat anaknya itu.
Tamilarasi merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik dan merupakan anak perempuan tunggal bagi pasangan itu.
No comments:
Post a Comment