KUALA LUMPUR 25 Mei - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini membuat laporan polis setelah menerima sepucuk surat layang mengandungi serbuk oren yang dipercayai beracun.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada pukul 4 petang oleh Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali setelah beliau membuka surat berkenaan di ibu pejabat Perkasa di Jalan Pahang pagi ini.
Syed Hassan berkata, ketika membuka sampul surat berwarna coklat yang ditujukan kepada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali kira-kira pukul 10.30 pagi, beliau melihat ada serbuk berwarna oren yang tidak diketahui jenisnya.
Katanya, beliau bimbang setelah tangannya terasa amat pedih apabila memegang surat itu yang diposkan dari Shah Alam.
"Oleh itu, saya bertindak membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan segera dilakukan berhubung pelaku dan kandungan serbuk yang terdapat pada surat layang berkenaan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu hari ini.
Syed Hassan berkata, Perkasa percaya perbuatan itu dilakukan oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan perjuangan pertubuhan tersebut.
Tegas beliau, tindakan yang dilakukan individu terbabit merupakan satu perbuatan pengecut.
"Sekiranya mereka yang terlibat tidak dikenakan tindakan tegas, kita percaya ia mungkin berulang," katanya.
No comments:
Post a Comment