PASIR MAS: “Arwah berubah sikap menjadi panas baran tanpa sebab sehingga meminta saya membencinya. Memang sedih apabila dia kata begitu, namun saya hanya mendiamkan diri.
“Tidak sangka itu petanda saya akan kehilangannya,” kata Rosliza Che Ramli, 32, isteri kepada Ariff Che Mohd Zain, 35, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah, To’ Uban di sini, malam kelmarin.
Selain Ariff, mangsa lain yang maut ialah Muhammad Faizal Fakruddin,16, Chik Shamsuddin Mat Ghapar, 16, dan Wee Thai Kit, 40, Rosliza berkata sebelum kejadian, dia sempat membeli keperluan dapur bersama suaminya di kedai berhampiran rumah mereka di Cabang Tiga, Chekok di sini, sebelum suaminya sekali lagi keluar untuk mengambil anak sulung mereka, Aliff Azhan, 12, di rumah ibunya di Kampung Semubal.
Menurutnya, berikutan tayar kereta dan motosikalnya pancit, suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori pasir itu meminjam motosikal adiknya.
“Kami berdua bekerja, jadi anak ditinggalkan di rumah ibu saya. Ketika itu, hanya Aliff berada di rumah. Selepas selesai membeli barang dapur, dia (suami) berbasikal ke rumah ibunya untuk meminjam motosikal adiknya sebelum mengambil Aliff,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Menurut Rosliza, suaminya keluar dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak lama kemudian dia dikejutkan dengan panggilan daripada adiknya, Che Mohd Fazri, 27, memaklumkan kemalangan yang menimpa suami dan anaknya.
“Jantung saya berdebar-debar menjawab panggilan sebelum bergegas ke Hospital Pasir Mas (HPM),” katanya.
Menurutnya, suaminya juga sentiasa berpesan kepada anak-anaknya supaya menjaga diri apabila dia sudah tiada.
“Pada saya pun, dia cakap perkara sama. Dia suruh saya bawa anak-anak tinggal dengan ibu apabila dia sudah tiada. Dengan anak-anak, dia memang tegas kerana mahu mendisiplinkan mereka namun arwah bapa penyayang,” katanya.
Rosliza berkata Aliff yang cedera di muka sudah dibenar keluar dari hospital tetapi asyik menangis kerana teringatkan bapanya.
Allahyarham meninggalkan lima anak berusia antara tiga hingga 12 hingga dengan empat daripadanya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Cabang Tiga, Chekok.
Jenazah Ariff dikebumikan di Tanah Perkuburan Cabang Empat di sini, tengah hari semalam.
Dalam pada itu, Muhammad Fakhrul Fakruddin, 18, abang kepada Muhammad Faizal berkata, adiknya bersikap pelik apabila memintanya memasak burger istimewa untuknya.
“Beberapa jam sebelum meninggal dunia, adik saya beria-ia meminta saya memasak burger untuknya padahal sebelum ini tidak pernah dia berbuat demikian.
“Sebelum ini memang dia memasak sendiri jika mahu makan burger di gerai milik bapa saudara kami di Cabang To’ Ubani,” katanya.
Menurutnya, adiknya sering bersama sepupunya itu menunggang motosikal jika mahu ke mana-mana dan petang kelmarin, Muhammad Faizal memberitahu mahu ke To’ Uban untuk tidur di rumah emak saudaranya bersama Chik Shamsuddin,” kata ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Pasir Mas (HPM) di sini, malam kelmarin.
No comments:
Post a Comment