Friday, May 6, 2011

AS enggan dedah gambar Osama


WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama semalam memutuskan untuk tidak menyiarkan gambar mayat pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden. Beliau berkata, Amerika Syarikat tidak sepatutnya memperagakan ‘piala’ kemenangannya.
Kabinet Perang Obama sebelum ini berbelah bagi sama ada untuk menyiarkan gambar ngeri mayat Osama yang ditembak mati oleh komando elit Amerika Syarikat dalam serangan di Pakistan Ahad lalu.

“Adalah penting untuk kita memastikan bahawa gambar seseorang yang ditembak di kepala tidak beredar kerana ia boleh mencetuskan lebih banyak keganasan dan dijadikan alat propaganda,” kata Obama ketika diwawancara dalam rancangan ‘60 Minutes’ terbitan CBS.

“Kita bukan seperti itu. Anda tahu, kita tidak memperagakan bahan seperti itu sebagai piala,” katanya.

Menurutnya. ujian DNA dan teknik pengecaman wajah membuktikan Osama yang didakwa merancang serangan 11 September 2001 sudah mati.

Selain Osama, pegawai Amerika dan Pakistan berkata, empat orang lagi terbunuh dalam serangan itu, termasuk dua beradik yang menjadi orang perantara paling dipercayai pemimpin al-Qaeda berkenaan dan seorang lagi dipercayai anak Osama.


Seorang anak perempuan Osama, yang kini ditahan bersama-sama isterinya, warga Yaman, melihat bapanya ditembak, kata seorang pegawai perisik Pakistan.

“Gadis berusia 12 tahun itu adalah orang yang mengesahkan kepada kami bahawa Osama sudah mati akibat ditembak dan mayatnya dibawa tentera Amerika,” kata pegawai itu.
Pembantu kanan Obama sebelum ini berbahas mengenai sama ada akan menyiarkan gambar mayat Osama tetapi pada masa sama bimbang tindak balas daripada masyarakat Islam hingga mendorong kepada serangan terhadap tentera dan kepentingan Amerika.

Meskipun tanpa gambar sebagai bukti, sebahagian besar media Pakistan menerima hakikat bahawa Osama sudah mati, ketika teori mengenai konspirasi tersebar luas.

Mayat Osama dikebumikan di laut oleh tentera Amerika Syarikat.

Pentadbiran Obama tidak mahu beliau dikebumikan di darat bagi mengelak pusaranya dipuja kumpulan pelampau.

Sementara itu, vila di Abbottabad, tempat Osama ditembak mati, sehingga semalam masih menjadi tumpuan penduduk tempatan dan media. - Agensi

No comments:

Post a Comment