SEREMBAN: “Kami sekeluarga tidak pernah sesekali berputus asa untuk mencari dia (Shakinah) dan sentiasa sabar menanti walaupun sudah beberapa hari tragedi ini,” kata Wan Aziz Wan Abdullah, 38, bapa saudara kepada tiga beradik yang dihanyutkan arus deras ketika mandi di Hutan Lipur Ulu Bendol, di sini, Selasa lalu.
Kelmarin, mayat Nur Syaza Alisa Said Ahmad, 5, ditemui pada jam 3.15 pagi, manakala mayat adiknya, Nur Syaza Azera, 4, ditemui pada jam 10.20 pagi, masing-masing kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian dan berdekatan Sekolah Kebangsaan Ulu Bendol.
Bagaimanapun, hingga petang semalam, Nur Syaza Shakinah, 2, belum ditemui dan operasi pasukan mencari serta menyelamat masih diteruskan.
Menurut Wan Aziz, selain berusaha meneruskan operasi mencari bersama pihak berkuasa, mereka sekeluarga turut menggunakan kaedah alternatif lain seperti merujuk kepada pakar perubatan tradisional.
“Berdasarkan firasat seorang pakar perubatan tradisional yang ditemui, Shakinah berkemungkinan ditimbus oleh pasir atau berada di celahan batu di sekitar kawasan hutan lipur berkenaan.
“Ia berikutan saiz tubuhnya yang lebih kecil berbanding dua kakaknya. Pasukan penyelamat sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan sedang berusaha mencari mangsa di merata tempat di seluruh kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Ixora Senawang di sini, semalam.
Turut hadir isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Salbiah Tunku Nujumuddin yang meluangkan masa menziarah ibu mangsa, Wan Azlela Wan Abdullah, 33.
Wan Aziz berkata, walaupun masih tiada sebarang tanda diketahui, mereka sekeluarga sentiasa berdoa kepada Allah supaya Shakinah dijumpai secepat mungkin.
Sementara itu, Wan Azleela yang kelihatan sebak berkata, dia sememangnya tidak menyangka akan kehilangan ketiga-tiga anak perempuannya dalam keadaan ngeri seumpama itu.
“Saya masih terbayang saat terakhir menemui mereka yang sempat memeluk tubuh sambil mencium pipi saya beberapa kali.
“Apa yang paling menyedihkan adalah ‘Adik’ (Shakinah) sempat meronta-ronta supaya tidak ditinggalkan dan saya berjanji untuk datang semula serta membelikannya aiskrim. Namun, saya kesal dan terkilan kerana tidak gagal berbuat demikian,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, pihaknya kesal tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab membuat panggilan palsu berkaitan penemuan mayat mangsa sejak hari pertama kejadian.
No comments:
Post a Comment