IPOH 26 Mei - ''Saya mahu selesaikan masalah ini secara baik. Saya minta dia jangan abaikan anak-anak dan hormati kami yang pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya.''
Demikian luahan Norliaton Murni Zainal Abidin, 31, bekas isteri Indra Putra Mahayudin yang merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan, ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Dia hadir ditemani bapanya bagi memfailkan tuntutan mutaah dan idah selain permohonan hak penjagaan serta nafkah anak-anak.
Mahkamah menetapkan 6 Julai ini untuk sebutan tuntutan wanita berkenaan yang tidak diwakili peguam syarie.
Wanita itu mendakwa diceraikan oleh Indra Putra, 30, pada 27 April lalu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ketika dia sedang dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak ketiga mereka.
Bekas pramugari Malaysia Airlines (MAS) itu kemudian memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di mahkamah sama dan penceraian mereka disahkan pada 18 Mei lalu.
Pada prosiding penceraian tersebut, Indra Putra diwakili oleh peguam syarie, Saiful Adli Mohd. Arshad.
Norliaton Murni berkahwin dengan pemain bola sepak yang kini mewakili pasukan T-Team pada 13 Mac 2003.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan berkenaan dikurniakan tiga orang anak iaitu Airil Putra, 8, Ady Ilhan Putra, 5, dan Alya Nur Zahra yang berusia dua bulan.
Sebelum bercerai, Norliaton Murni pernah memfailkan tuntutan nafkah terhadap Indra Putra selepas hampir lapan bulan ditinggalkan.
No comments:
Post a Comment