Tuesday, May 24, 2011

Erdogan nafi dalangi skandal

BURSA 23 Mei – Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam menafikan dakwaan parti beliau mendalangi skandal video seks yang memaksa enam anggota kanan sebuah parti pembangkang nasionalis meletakkan jawatan beberapa minggu sebelum pilihan raya umum negara ini.
“Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) tidak mempunyai kaitan dengan skandal video seks itu,” katanya ketika berkempen di bandar Bursa menjelang pilihan raya 12 Jun ini.
Enam ahli Parlimen Parti Pergerakan Nasionalis (MHP) pimpinan Devlet Bahçeli meletakkan jawatan kelmarin, selepas satu laman web memberi amaran akan menyiarkan rakaman video yang menunjukkan mereka melakukan hubungan seks.
Empat lagi anggota kanan MHP sudah pun meletakkan jawatan selepas laman web itu menyiarkan video seks mereka
Sementara itu, Pendakwa Raya Pihak Berkuasa Khas Istanbul, Adnan Cimen meluaskan siasatan melibatkan skandal video seks yang menyebabkan peletakan jawatan 10 ahli politik kanan MHP itu.
Presiden Persekutuan Persatuan Wanita Turki (TKDF) yang beribu pejabat di Ankara, Canan Gullu pula berkata, skandal video seks ini telah menyakiti kaum wanita di negara ini.
“Walaupun wanita tidak terlibat dalam politik Turki sepenuhnya, skandal video seks telah menjadi ‘faktor penentu’ kepada politik.
“Kaum wanita lebih tersinggung apabila video seks itu dibincangkan ketika berkempen dan ramai kaum hawa akan menjadi teragak-agak sama ada mahu mengundi MHP atau tidak pada 12 Jun ini,” katanya kepada akhbar Todays Zaman.
Menurutnya, wanita sering digunakan sebagai ‘alat politik’ di Turki berbanding dianggap sebagai orang penting dalam politik. – AGENSI
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment