Tuesday, May 24, 2011

Raisuddin Hamzah sakit dada, kes bubar nikah tangguh 22 Ogos



SHAH ALAM 23 Mei - Prosiding perbicaraan kes pembubaran nikah Raisuddin Hamzah dan isteri keduanya ditangguhkan setelah penyanyi era 1980-an itu mengadu sakit dada ketika dalam perjalanan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Peguam syarie, Norazmi Mohd. Arif yang mewakili Raisuddin memberitahu bahawa dia dihubungi oleh anak guamnya sendiri pagi ini untuk memaklumkan perkara tersebut.
Berikutan kejadian itu, menurutnya, Raisuddin sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tanjung Karang, Kuala Selangor.
Hakim Syarie, Zainor Rashid Hassin kemudian menetapkan kes disambung bicara pada 22 Ogos ini.
Sementara itu, plaintif iaitu bapa mertua Raisuddin, Suberi Abdullah, 51, yang diwakili oleh peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie hadir ke mahkamah.
Pernikahan Raisuddin, 54, dengan Siti Fatimah, 23, di Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007 menimbulkan kontroversi apabila Suberi memfailkan permohonan untuk membubarkan perkahwinan itu secara faraq.
Beliau membuat permohonan tersebut dengan alasan Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan dia sebagai wali mujbir langsung tidak dimaklumkan tentang perkahwinan itu.
Sementara Raisuddin dan Siti Fatimah pula memfailkan permohonan untuk mengesahkan pernikahan mereka yang kini didengar di Mahkamah Tinggi Syariah yang sama.
Pasangan itu telah diperintah tinggal berasingan sehingga perkahwinan mereka disahkan.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment