Tuesday, May 24, 2011

Nyaris jadi mangsa arus




SEREMBAN – Ibu kepada tiga kanak-kanak yang hanyut di Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah, baru-baru ini nyaris menjadi mangsa kepala air ketika sedang mencari anaknya di kawasan air terjun hutan rekreasi itu, Rabu lalu.

Wan Azlela Wan Abdullah, 33, berkata, ketika kejadian, dia bersama beberapa anggota keluarga dan saudara mara sedang mencari anaknya, Nur Syaza Shakinah, 2, yang masih belum ditemui sehingga kini sejak dihanyutkan arus deras, 3 Mei lalu.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, dia seorang diri mahu turun ke sungai untuk mencari anaknya, sementara yang lain mahu berehat.

“Ketika mahu menurunkan kaki, tiba-tiba datang kepala air dari arah atas dan ketika itu air terus naik mendadak.

“Mujur saya belum turun ke bawah dan sempat berlari ke belakang apabila air sungai naik secara mendadak selepas berlakunya kepala air,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Wan Azlela berkata, kejadian tersebut berlaku dengan sekelip mata, di tambah pula tiada petanda akan berlaku kepala air.

“Ketika kejadian cuaca amat cerah, tiada hujan dan keadaan air sungai amat cetek sekali.

“Mujur sewaktu kejadian kepala air itu tiada seorang pengunjung pun yang datang bermandi-manda,” katanya.

Wan Azlela berkata, insiden kepala air itu juga bukan berlaku sekali, malah berlaku empat hari berturut-turut.

“Bukan sahaja hari itu, tetapi esoknya, diikuti hari Jumaat dan Sabtu turut berlaku kejadian kepala air.

“Kepala air paling besar sekali pada Jumaat malam, apabila air naik mendadak sehingga mencapai paras jambatan di kawasan itu,” katanya.

Berikutan itu, dia bimbang sekiranya kejadian menimpa anaknya itu berulang lagi dan berharap pihak berkaitan dapat melakukan sesuatu untuk mengelakkan pengunjung diancam fenomena kepala air itu.
SH

No comments:

Post a Comment