Tuesday, May 24, 2011

Pilu lihat adik tertimbus di depan mata




SEBAK: Awie ditenangkan bapa saudaranya di Rumah Mayat Hospital Kuala Lumpur, kelmarin. -- Foto HARIAN METRO



TANAH RUNTUH DI RUMAH ANAK YATIM DI SELANGOR
SEPANG: Seorang abang tidak dapat melupakan detik-detik melihat adik bongsu dan rakan-rakannya tertimbus dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat, petang kelmarin.
Mohd Awie Abdul Latiff, 12 tahun, ketika menceritakan kejadian itu, berkata dia bingkas berlari menyelamatkan diri selepas mendengar jeritan rakan-rakan.Namun, adiknya, Allahyarham Mohd Riezman, sembilan tahun, tidak berbuat demikian kerana menunggu dua lagi rakannya sebelum mereka terperangkap di bawah runtuhan tanah.'Saya tarik tangan adik ketika kami lari menyelamatkan diri, tapi kaki adik tersangkut pada besi khemah dan dia jatuh. Saya tarik lagi tangannya tapi runtuhan batu jatuh ke arah kami dan menimpa kepala adik.'Saya mahu mengorek tanah mencari adik, namun orang ramai menghalang. Saya terus menangis kerana hanya mampu melihat adik tertimbus depan mata,' katanya.Dalam kejadian tanah runtuh sekitar 2.30 petang Sabtu lalu di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felda Semungkis, Batu 14, seramai 25 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus dalam runtuhan tanah.Enam belas terkorban dalam tragedi itu manakala sembilan lagi yang turut terperangkap dalam runtuhan selamat.'Walaupun tak sempat menyelamatkan Iman (Mohd Riezman), saya bersyukur kerana dapat memenuhi permintaan arwah yang mahukan hadiah jam tangan dan minyak wangi semasa hari lahirnya Januari lalu.'Saya membelanjakan RM56 ($22) membeli jam tangan 'Ben 10' dan minyak wangi yang dibeli melalui rakan senior. Iman sangat gembira dan selalu memakai jam tangan itu,' kata Mohd Awie, anak kelima daripada enam beradik yang sudah kematian bapa.Dia menambah, ibunya, Cik Intan Anisah Alang, 40 tahun, mahu mengambilnya daripada rumah anak yatim tersebut dan tinggal semula bersama keluarga di Taman Bukit Mewah, Kajang.Sementara itu, Cik Intan Anisah, berkata arwah anaknya itu sempat menghantar kad sempena Hari Ibu baru-baru ini.'Sudah hampir setahun saya tidak bertemu dengannya. Kali terakhir kami berjumpa pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.'Dalam pertemuan itu, Iman sempat menghadiahkan sehelai tudung kepada saya. Dia juga hadiahkan kad Hari Ibu yang cukup bermakna buat saya,' katanya.Seorang lagi mangsa, Mohd Harris Izzudin, 11 tahun, yang cedera di kaki kanan dan tangan kiri akibat tersepit, berkata semuanya berlaku terlalu cepat.Menurutnya, beliau sedih melihat keadaan rakan yang terperangkap dan menjerit kesakitan serta meminta pertolongan.'Saya lihat dan dengar dengan jelas, ada yang melaungkan azan, menyebut Allahuakbar dan menjerit meminta diselamatkan.'Ada yang sebahagian badan sudah tertimbus melambai tangan meminta tolong, namun keadaan menjadi senyap selepas 30 minit kemudian,' katanya. -- Utusan Malaysia, Harian Metro, BHM.Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment