Sunday, May 8, 2011

Ikrar hancur Al-Qaeda- AS


WASHINGTON: Kumpulan al-Qaeda dan militan Islam berikrar akan menuntut bela atas kematian Osama bin Laden oleh pasukan komando Amerika Syarikat dengan mengisytiharkannya pejuang syahid serta menyeru umat Islam supaya bangkit menentang AS.
Bagaimanapun, Presiden Barack Obama memperlekehkan reaksi kumpulan itu dan menegaskan AS akan menghancurkan al-Qaeda.

“Kami sudah membunuh ketua mereka dan pasti dapat menewaskan kumpulan itu,” kata Obama selepas mengadakan pertemuan secara peribadi dengan anggota pasukan khas yang menyerbu kediaman Osama di Pakistan Isnin lalu sebelum menembak mati pemimpin al-Qaeda itu. Rangkaian pengganas itu yang mengesahkan kematian Osama buat kali pertama mengecam pembunuhan ketua mereka dan menggesa umat Islam Pakistan ‘membersihkan negara mereka daripada najis warga Amerika yang menyebarkan rasuah’.

Kumpulan Taliban di Afghanistan turut menyuarakan kecaman - manakala beberapa perhimpunan diadakan selepas solat Jumaat di beberapa negara Islam - sambil menyifatkan kematian Osama hanya mengukuhkan peperangan menentang penjajah Barat.

“Kami menyeru umat Islam di Pakistan di mana Sheikh Osama dibunuh supaya bangkit dan menentang bagi membersihkan pencemaran ini,” kata kenyataan al-Qaeda yang dikeluarkan di laman SITE.

Kumpulan itu berikrar rangkaian jihad tidak akan terhapus tetapi pada masa sama tidak mendedahkan siapa pengganti bagi memimpin kumpulan berkenaan. Rumah Putih berkata seluruh negara diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga ekoran ancaman al-Qaeda itu yang berjanji mendedahkan rakaman ucapan Osama hanya seminggu sebelum dia ditembak mati. - AFP, mymetro

No comments:

Post a Comment