Sunday, May 8, 2011

Sumbangan tsunami jadi sampah



PENDUDUK mencari dan memilih pakaian  untuk disumbangkan kepada mangsa gempa dan tsunami di Ishinomaki, kelmarin.
PENDUDUK mencari dan memilih pakaian untuk disumbangkan kepada mangsa gempa dan tsunami di Ishinomaki, kelmarin.
Barangan bantuan mangsa gempa Jepun tak diperlukan 

SENDAI: Kerajaan tempatan di kawasan yang dilanda bencana di Tohoku kini berdepan masalah lebihan sumbangan barangan tidak perlu untuk mangsa gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada Mac lalu.
Berikutan itu, pihak berkuasa tempatan terpaksa bertungkus lumus menyusun barang sumbangan yang tidak diperlukan seperti pakaian musim sejuk, alat pemanas dan selimut di gimnasium sekolah dan stor simpanan sementara.
Akhbar Japan Today melaporkan pegawai kerajaan memberitahu sumbangan terus diterima walaupun ia tidak lagi diperlukan. 

Sebelum ini, pihak pentadbiran di Sendai, wilayah Miyagi, memutuskan untuk menganjurkan bazar bagi menjual sebahagian barangan sumbangan yang berlebihan dan mendermakannya kepada badan kebajikan lain bagi mengurangkan lambakan. 

Laporan menyatakan daripada 10,000 kotak yang diterima, satu pertiga daripadanya tidak diperlukan termasuk kira-kira 8,000 beg sandang kanak-kanak, kata pegawai rasmi. 

Banyak sumbangan berbentuk alat pemanas dan pakaian musim dingin juga diterima selepas bencana alam itu, walaupun cuaca semakin panas. 
“Walaupun kami memerlukan tilam dan selimut apabila perumahan sementara penduduk yang dipindahkan siap kelak, gimnasium yang ada sudah tidak lagi mampu menampung lambakan sumbangan itu dan kekurangan lokasi untuk menyimpannya di Ishinomaki,” kata pegawai. 

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa barangan itu diderma dengan tujuan baik. 

“Berikutan itu kita tidak mahu ia dibazirkan tetapi pihak berkuasa terpaksa berdepan dengan cabaran besar. Masih ada lagi orang memerlukan sumbangan ini di kawasan lain dan kita perlu menghantarnya kepada mereka,” katanya. 

Sementara itu di pekan Onagawa, perkara yang sama berlaku hingga memaksa pihak berkuasa membuat keputusan membuang lapan tan barangan sumbangan orang ramai yang tidak boleh digunakan kerana melebihi permintaan. 

Pekan itu turut bercadang membuang semua sumbangan akan datang yang kotor dan rosak. 

“Kita menerima terlalu banyak pakaian musim sejuk. Apa yang mangsa gempa bumi dan tsunami ini perlukan adalah pakaian yang lebih nipis, sabun basuh baju dan keperluan harian,” kata seorang pegawai. 

Beliau juga meminta orang ramai sentiasa peka kepada berita dan terus menyumbang barangan yang benar-benar diperlukan di kawasan yang terjejas. – Agensi , bharian

No comments:

Post a Comment