Sunday, May 8, 2011

Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 11.11.11?



KUALA LUMPUR 6 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mencetuskan teka-teki mengenai tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 apabila menyatakan ia mungkin diadakan pada satu tarikh atau bulan yang mempunyai angka 11, yang juga nombor kegemaran beliau.
Pada masa sama, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu tidak pula menafikan atau mengiakan mengenai ramalan bahawa PRU13 berkemungkinan berlangsung pada 11 November ini (11.11.11) disebabkan banyak angka 11 begitu signifikan dengan dirinya.
Sebaliknya, Najib dalam nada bersahaja berkata, penentuan tarikh pilihan raya berdasarkan angka kegemaran, merupakan amalan yang sering digunakan dalam arena politik tanah air sebelum ini.
"Pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa, tidak semestinya pada bulan 11 (November) atau boleh jadi pada 11 hari bulan. Mengenai teka-teki bila pilihan raya, saya rasa elok diteruskan teka-teki ini. Soal bertuah atau tidak angka 11, saya tidak tahu, kita tengoklah dulu.
"Soal tarikh itu (11 November 2011) memang ada kaitan dengan hidup saya tetapi sama ada pilihan raya akan berlangsung atau tidak, wallahualam," katanya selepas ke udara secara langsung bersama Krew Pagi Radio Hot FM di Sri Pentas, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, tarikh bukan persoalan utama tetapi apa yang penting, jentera BN kena buat kerja untuk meyakinkan rakyat bagi memastikan dasar, program, kepimpinan serta cara parti itu mendekati hati rakyat diterima oleh pengundi.
Ditanya sama ada BN sudah cukup bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum, beliau berkata, perkara tersebut tidak boleh diungkapkan kerana selagi semboyan belum dibunyikan, selagi itu jentera parti perlu bekerja keras bagi menawan hati rakyat.
Terdahulu, ketika ditemu bual oleh penyampai radio Hot FM yang terdiri daripada Farah Fauzana; Faizal Ismail dan Kieran, Najib berkata, kesukaannya pada nombor 11 menyebabkan ramai yang meramalkan bahawa PRU13 akan diadakan pada 11 November ini.
Katanya, pada tarikh 11 Mac 1922, ayahandanya Tun Razak Hussein lahir; 11 Jun 1933 pula tarikh lahir bondanya, Tun Rahah Noah; tarikh lahir anak pertama beliau juga pada 11 hari bulan; UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946; menjadi Menteri Besar Pahang yang ke-11 dan merupakan Orang Kaya Indera Shah Bandar yang ke-11.-utusan

No comments:

Post a Comment