Sunday, May 8, 2011

Tidak sanggup lihat anak derita



KUANTAN - “Anak saya memerlukan RM25,000 bagi kos pembedahan jantung berlubang yang dihidapinya sejak lahir lagi,” kata Abd Basid Jusoh,35.

Bapa Muhamad Faiz Haikal, 3, itu berharap berharap agar anaknya dapat dibedah secepat mungkin dan paling lewat adalah selepas raya ini bagi menyelamatkan nyawa anak sulungnya itu.

Menurutnya, dia terpaksa berhenti kerja bagi menjaga Muhamad Faiz kerana bimbang jika di bawah penjagaan pengasuh.

“Saya tidak percaya kepada orang lain untuk menjaga anak saya ini, biarlah saya sendiri yang menjaganya kerana dia memerlukan perhatian yang khusus, pendek kata dia tidak boleh terlepas daripada pandangan mata saya.

“Budak kecil sebegini sememangnya aktif dan kadang-kala kasihan juga melihat dia yang baru sahaja ingin bermain, tetapi sudah mengah,” katanya yang tinggal di Indera Mahkota 2 di sini.

Selain itu, dia yang pernah bekerja sebagai pelukis pelan ini pada awalnya meminta kelonggaran untuk bekerja daripada majikannya, tetapi tidak diizinkan menyebabkan dia memilih untuk berhenti kerja sementara isterinya, Haliza Sayuti, 34, baru sahaj bekerja sebagai jurujual di sebuah pasaraya.

Abd Basid berkata, atas desakan kewangan yang dihadapi mereka, Muhamad Faiz tidak dapat menjalani rawatan susulan di hospital.

“Doktor kata ubat yang terbaik adalah membedahnya secepat mungkin, tetapi saya tiada wang untuk membiayai kos tersebut menyebabkan saya menunda pembedahan tersebut.

“Cuma, apa yang bleh saya lakukan sekarang, hanya berhati-hati dalam penjagaan seharian Muhamad Faiz, kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini, terhadap beliau,” katanya.

Menurutnya, sebagai ibu bapa mereka risau melihat keadaan Muhamad Faiz yang termengah-mengah terutama ketika hari hujan kerana bibir dan kukunya akan menjadi biru dan terus berdoa agar anaknya boleh menjalani pembedahan.

“Saya harap agar dia mempunyai harapan untuk terus hidup sebagaimana kanak-kanak yang lain kerana sudah tidak sanggup melihat dia menderita, bahkan berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

“Semoga hasrat saya untuk melihat dia dibedah selepas raya nanti akan termakbul sekali gus dia dapatmembesar seperti kanak-kanak lain depan mata, kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment