Tuesday, May 17, 2011

Liwat II: Anwar Tidak Terkejut Dengan Keputusan Mahkamah

Liwat II: Anwar Tidak Terkejut Dengan Keputusan Mahkamah

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjangkakan bahawa beliau akan dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Keputusan itu tidak mengejutkan walaupun mengikut pendapat saya dan peguam, kes itu tidak boleh diteruskan dan tidak mempunyai asas,” katanya semasa ditemui di luar Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Anwar yang hadir bersama isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anak sulung mereka, Nurul Izzah bagaimanapun meluahkan rasa kesalnya terhadap keputusan tersebut.

“Keputuan hakim seolah-olah beliau terikat sepenuhnya dengan hujahan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Seolah-oleh hakim telah memutuskan untuk menghukum,” tambah beliau.

Ketika ditanya perancangan seterusnya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memberitahu, beliau akan terus memperjuangkan kebenaran di peringkat pembelaan, yang akan bermula pada 6 Jun depan.

“Saya akan memanggil semua saksi termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Saya juga akan memanggil bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dan Datuk Mumtaz Jaafar (bekas atlet negara) serta saksi-saksi lain yang akan mempertahankan kebenaran,” katanya.

Anwar juga memberitahu, rasional mengapa Najib dan Rosmah dipanggil adalah kerana kedua-dua mereka didakwa telah memberi keterangan kepada pihak polis berkaitan kes itu.

Anwar, 63, diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 25, yang didakwa berlaku antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, dekat sini.

Jika disabitkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan disebat. Anwar didakwa untuk kali pertama bagi kesalahan itu pada 7 Ogos 2008 dan kes berprofil tinggi itu mula dibicarakan pada 3 Februari 2010.

Pada Isnin, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memerintahkan Anwar untuk membela diri selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan prima facie terhadap pertuduhan untuk dijawab oleh Anwar.

Pada penghakimannya, Mohamad Zabidin memutuskan Mohd Saiful yang merupakan saksi utama adalah seorang yang boleh dipercayai dan kredabilitinya tidak terjejas.

Selain itu, Mohamad Zabidin juga berpendapat, keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi pakar membuktikan bahawa kejadian penetrasi telah berlaku selain Anwar dan Mohd Saiful berada di unit tersebut pada waktu kejadian.

mStar Online

No comments:

Post a Comment