Tuesday, May 17, 2011

Tubuh ketua IMF diperiksa polis




Dominique Strauss-Kahn (dua dari kanan) dibawa oleh anggota-anggota polis keluar dari sebuah balai polis di New York pada Ahad lalu.


NEW YORK - Tubuh Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn kelmarin diperiksa pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan bukti berhubung dakwaan serangan seksual yang dilakukannya terhadap seorang pengemas bilik hotel di sini.
Strauss-Kahn, 62, yang berkahwin dan memiliki empat orang anak sebelum ini memiliki reputasi sebagai penggoda agung wanita.
Beliau dijadualkan dihadapkan di mahkamah AS semalam berhubung dakwaan melakukan serangan seksual, cubaan merogol dan mengurung mangsa secara haram selepas wanita itu memasuki bilik hotelnya berhampiran Times Square di sini untuk mengemaskannya.
Peguamnya, William Taylor berkata, ketua IMF itu ditangkap pada Sabtu lepas dan ditahan lebih 24 jam di sebuah balai polis di sini.
Mangsa kemudian dapat mengecamnya dalam satu kawad cam
Sekumpulan jurugambar merakamkan beliau dibawa ke sebuah balai polis di sini dalam keadaan tangannya digari seperti penjenayah lain.
Menurut Taylor, anak guamnya kemudian dibawa ke sebuah hospital untuk menjalani pemeriksaan forensik atas arahan pendakwa raya bagi mendapatkan lebih banyak bukti dalam kes tersebut.
Beliau dihadapkan ke sebuah mahkamah di sini awal semalam.
Seorang lagi peguam Strauss-Kahn, Benjamin Brafman berkata, Pengarah Urusan IMF berkenaan akan menentang semua dakwaan terhadapnya dan menafikan melakukan sebarang kesalahan.
Ketua IMF itu ditangkap kurang empat jam selepas serangan seksual tersebut didakwa berlaku.
Beliau ditahan semasa berada dalam pesawat yang dijadual menuju ke Paris ketika pesawat berkenaan hendak berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di sini.
Polis berkata, Strauss-Kahn bersendirian ketika beliau mendaftar masuk ke hotel mewah Sofitel di sini pada tengah hari Jumaat lalu.
Sementara itu, ketua IMF berkenaan yang memakai kot hujan hitam dan kemeja cerah, dihadapkan ke sebuah mahkamah di sini semalam.
Beliau muncul di mahkamah berkenaan di hadapan Hakim Melissa Jackson untuk seketika sebelum dibawa meninggalkan kamar mahkamah melalui pintu belakang.
Setakat ini, masih tidak jelas mengapa Strauss-Kahn meninggalkan kamar mahkamah tersebut tetapi peguam-peguamnya tidak kelihatan bersamanya sekali gus menunjukkan kesnya masih belum siap untuk perbicaraan.
Semasa beberapa minit di dalam kamar mahkamah, Strauss-Kahn duduk di atas bangku tempat suspek penjenayah menunggu sebelum mereka muncul di hadapan hakim.
Beliau tidak kelihatan digari ketika di dalam mahkamah.
Strauss-Kahn berada di mahkamah untuk membuat pengakuan tidak bersalah dan bagi memohon ikat jamin. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

No comments:

Post a Comment