Tuesday, May 17, 2011

Liwat II: Pembelaan Akan Temuramah Najib, Rosmah

Oleh SALWA SHA’ARI

KUALA LUMPUR: Peguam Sankara Nair yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa barisan pembelaan kes liwat Ketua Pembangkang itu akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najid Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut Sankara, tindakan tersebut bagi menentukan sama ada Najib dan Rosmah akan dipanggil sebagai saksi pembelaan kepada Anwar, yang telah diarahkan untuk membela diri terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Najib dan Rosmah telah disenarai pendekkan dalam 30 saksi daripada 72 saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan kepada kami,” katanya.

Bagaimanapun, Sankara tidak dapat menyatakan secara terperinci bila temuramah tersebut akan diadakan kerana ia akan diaturkan oleh pihak pendakwaan.

Beliau juga memberitahu, selain Najib dan Rosmah, pihaknya akan memanggil dua saksi pakar iaitu masing-masing dari Australia dan India.

Difahamkan, saksi dari Australia tersebut ialah pakar dalam bidang asid deoksiribonukleik (DNA) Dr Brian Leslie McDonald manakala pakar dari India adalah pakar forensik, Profesor Dr C. Damodaran.

Ketika diminta untuk mengulas mengenai keputusan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang memanggil Anwar untuk membela diri, Sankara berkata, keputusan itu adalah mengecewakan.

“Kita berasakan tiada kes yang perlu dijawab oleh Anwar tetapi mahkamah telah membuat keputusan sebegitu dan kita akan menyediakan pembelaan.

“Sebelum ini mahkamah telah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan, maka selepas ini kita akan mengemukakan pula saksi-saksi pembelaan. Ini bukan penamat, hanya di peringkat pertengahan,” katanya.

Anwar, 63, diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 25, yang didakwa berlaku antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan oleh Ketua Pembangkang tersebut di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dihadapkan ke mahkamah untuk kali pertama pada 7 Ogos 2008 manakala perbicaraan bermula pada 3 Febuari 2010.

Secara keseluruhan, seramai 26 saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang memakan masa selama 59 hari.

Ini merupakan pendakwaan kes liwat kali kedua terhadap Anwar, yang telah menghadapi pertuduhan sama pada tahun 2000.

Semasa itu, Anwar didakwa melakukan kesalahan itu terhadap pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar dan dihukum penjara sembilan tahun selepas disabitkan bersalah. Bagaimanapun, hukuman tersebut diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan empat tahun kemudian.

mStar Online

No comments:

Post a Comment