Tuesday, May 17, 2011

Penulis dakwa dicabul Strauss-Kahn 10 tahun lalu

pix_gal0PARIS: Pengarah urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa, Dominique Strauss-Kahn yang ditahan di New York kelmarin atas tuduhan cuba merogol, kini didakwa pula melakukan serangan seks di Perancis.

Seorang peguam Perancis berkata, semalam anak guamnya sedang menimbangkan sama ada untuk mengemukakan tuduhan terhadap Strauss-Kahn di atas insiden yang didakwa berlaku hampir sedekad lalu itu.
Peguam itu, David Koubbi, berkata anak guamnya, Tristane Banon yang juga seorang penulis mendakwa insiden itu berlaku ketika beliau menemubual Strauss-Kahn, seorang bekas menteri kewangan Perancis di pangsapurinya pada 2002.
“Kami sedang menimbangkan untuk memfailkan tuduhan,” kata Koubbi dalam satu mesej pesanan ringkas kepada Reuters, semalam.

Strauss-Kahn, seorang tokoh parti Sosialis, sebelum ini dianggap calon pilihan bagi pilihan raya presiden tahun depan.

Beliau di didakwa di New York hujung minggu lalu atas tuduhan menyerang secara seksual seorang pekerja hotel.

Peguam Strauss-Kahn berkata, anak guamnya akan mengaku tidak bersalah.
Media Perancis termasuk Liberation, Le Parisien dan Le Figaro semalam memuatkan butir terperinci insiden yang berlaku pada 2002 itu.

Dalam satu temubual bersama televisyen pada 2007, Banon yang berusia 22 tahun ketika itu, berkata Strauss-Kahn memegang tangannya dengan paksa ketika ditemubual dan cuba menggoda beliau.

“Insiden itu berakhir dengan pergelutan.

“Kami bergelut di atas lantai, saya menendangnya ketika beliau bertindak menanggalkan coli dan cuba membuka jeans saya,” katanya dalam temubual di televisyen itu.

Di bawah undang-undang Perancis, dakwaan cuba merogol boleh difailkan sehingga 10 tahun selepas dakwaan serangan berkenaan. – Reuters , bharian

No comments:

Post a Comment