Sunday, May 29, 2011

Mangsa buli boleh agresif


MUKA dan tangan Azlina ditoreh oleh murid lelaki berusia 12 tahun dipercayai akibat tekanan kena buli.

MUKA dan tangan Azlina ditoreh oleh murid lelaki berusia 12 tahun dipercayai akibat tekanan kena buli.


Lepas tekanan menerusi keganasan

SHAH ALAM: Seorang pakar psikologi berpendapat mangsa buli yang serius lazimnya akan bersikap agresif dan di luar kawalan pemikiran sehingga boleh mencederakan orang awam ketika berada berdekatan.
Pakar Psikologi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Amelia Abdul Aziz, berkata sikap mereka yang berbahaya itu sukar untuk dikawal walaupun orang yang lebih dewasa cuba menghentikannya.
Merujuk kepada tindakan seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun yang dikatakan menggelar tangan dan menoreh muka seorang gadis yang juga jirannya kelmarin, beliau berkata, kanak-kanak terbabit berisiko tinggi melakukan jenayah lebih serius apabila meningkat dewasa berdasarkan tindakan agresifnya itu.

“Murid Tahun Enam itu mungkin mengalami tekanan jiwa yang serius kerana sering dibuli di sekolah atau di luar sekolah dan perasaan marahnya diluahkan dengan cara mencederakan orang lain.

“Apabila perasaan marah dan sedih terlalu lama disimpan, ia boleh mengakibatkan seseorang menyimpan dendam serta lebih cenderung untuk mencederakan orang lain seperti dilakukan kanak-kanak itu bagi melepaskan rasa marah.

“Dengan melihat seseorang sakit atau cedera, perasaannya yang tidak stabil mula tenang dan pemikirannya akan kembali normal,” katanya kepada Berita Minggu.
Dalam kejadian di tempat letak kereta Pangsapuri Sri Era, Desa Latania, di sini, kira-kira jam 6.30 pagi kelmarin, mangsa, Azlina Ahmad, 24, menerima 14 jahitan di tangan dan dagu ketika cuba menepis pisau lipat disyaki senjata yang digunakan kanak-kanak terbabit.

Amelia berkata, perkara itu amat berbahaya bagi seorang kanak-kanak berumur 12 tahun kerana perjalanan hidupnya masih lama dan tidak mustahil dia akan terjebak dengan masalah sosial lain.

Berikutan itu, beliau meminta pihak sekolah memantau masalah buli dengan lebih kerap dan mengambil tindakan sewajarnya agar pelajar tidak mengulangi kesalahan sama.

“Jangan pandang ringan masalah buli di kalangan pelajar kerana mereka mudah cenderung untuk melakukan sesuatu yang memudaratkan diri dan orang lain berikutan pemikiran mereka belum matang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak mengambil tindakan lanjut terhadap murid berkenaan berikutan mangsa menarik balik laporan polis.
Berita Harian Online | Mangsa buli boleh agresif

No comments:

Post a Comment