JAKARTA 1 Mei – Bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri menggesa pemerintah negara ini bertindak tegas terhadap sebarang ideologi yang menolak prinsip Pancasila seperti mewujudkan Negara Islam Indonesia (NII).
Menurut beliau, selagi pemerintah Indonesia tidak mengambil tindakan konsisten melaksanakan ideologi Pancasila, ia akan membuka ruang bagi kehadiran fahaman lain.“Kita seharusnya tegas mengenai hal ideologi. Yang kita tahu ideologi kita Pancasila dan itu sebagai konstitusi bangsa dan negara,” kata Megawati.
Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan itu turut menegaskan, bahawa rakyat Indonesia tidak ada pilihan lain, selain memastikan falsafah Pancasila menjadi benteng kemakmuran negara.
Justeru, di bahu pemerintah terpikul amanah ini bagi mempertahankan Perlembagaan negara, tegasnya berulang kali.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono sebelum ini memberi amaran negara ini menghadapi gelombang fahaman radikal yang semakin meningkat.
Kebangkitan itu berlaku berikutan beberapa serangan bom dan jenayah yang didorong oleh prejudis terhadap golongan tertentu.
Bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla pula menegaskan, gelombang fahaman radikal tercetus akibat kelemahan pemerintah menangani isu-isu seperti kemiskinan dan ketidakadilan dalam sistem kehidupan rakyat. – Utusan
No comments:
Post a Comment