PULAU PINANG 1 Mei - Hari ini merupakan hari pertama Bukit Bendera di sini dibuka semula kepada orang ramai selepas setahun ditutup berikutan kerja-kerja menaik taraf perkhidmatan kereta api ke puncak bukit tersebut.
Sepatutnya ia memberikan kegembiraan kepada pengunjung ke kawasan yang menjadi salah satu ikon pelancongan bagi negeri ini.
Namun, ramai yang pulang dengan hampa kerana apa yang disajikan seolah-olah tidak berbaloi dengan wang ringgit dan keringat mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pengunjung terpaksa berbaris panjang sejauh 100 meter dan menunggu kira-kira dua jam untuk membeli tiket serta menaiki kereta api.
Malah, untuk sampai ke pusat pelancongan itu dari pusat bandar, penulis terperangkap hampir dua jam dalam kesesakan lalu-lintas berikutan tempat letak kereta tidak mencukupi.
Seorang pengunjung dari Perak, Amirjit Singh berkata, pada mulanya dia begitu teruja untuk datang ke situ untuk menikmati udara nyaman di samping mencuba kereta api baru.
"Malangnya semua itu hanya imaginasi manis sahaja kerana saya terpaksa beratur berjam-jam bagi mendapatkan tiket.
"Bila sampai di atas pula, tiada apa yang baru. Yang baru cuma kereta api," ujarnya kepadaUtusan Malaysia.
Perbadanan Bukit Bendera (PHC) hari ini membuka semula kawasan pelancongan tersebut kepada orang ramai selepas Kementerian Pelancongan menyerahkan projek naik taraf Bukit Bendera kepada anak syarikat kerajaan DAP Pulau Pinang itu pada 19 Mac lalu.
PHC mengenakan tambang baru sekali ganda iaitu RM8 bagi dewasa dan RM4 untuk kanak-kanak.
Sebelum ini, tambang yang dikenakan adalah RM4 bagi dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak.
Pelancong asing pula dikenakan tambang RM30 bagi dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak.
Menurut Amirjit lagi, pihak pengurusan Bukit Bendera sepatutnya mengambil serius perkara ini dan bukan hanya mengutamakan hasil pendapatan semata-mata.
"Pengunjung mahu menjadikan lawatan ke sini sebagai nostalgia, tapi satu kenangan manis pun saya tak dapat," jelasnya.
Kakitangan awam, Saiful Lizan Ibrahim, 38, pula berkata, dia kecewa kerana banyak kemudahan awam yang sepatutnya disediakan oleh PHC belum disiapkan.
Sebagai contoh, menurutnya, kedai cenderahati juga belum disiapkan dan ia sudah tentu mengecewakan pelancong khususnya dari luar negara yang mahu mengabdikan kenangan mereka ke situ.
"Sepatutnya mereka perlu tunggu kesemuanya siap dengan lengkap, kemudian barulah buka kepada orang ramai.
"Tempat letak kereta pun tak cukup hinggakan saya sekeluarga terpaksa tunggu dua jam untuk mendapatkan tiket," katanya dalam nada kecewa.
Sementara itu, pelancong dari India yang hanya mahu dikenali sebagai Himanshu pula memberitahu, dia terkejut dengan kadar tambang baru berkenaan.
"Saya pernah ke sini beberapa tahun dulu, dulu tiketnya tidak semahal ini malah kereta api juga bergerak perlahan dan saya dapat menyaksikan keindahan alam sekitar dari kaki bukit hingga ke puncak bukit," katanya.
"Tapi kereta api baru ini terlalu laju sehingga saya tidak dapat menikmati apa yang saya pernah nikmati dulu," ujarnya.
Pelancong dari Amerika Syarikat, Gautam Kanwar pula menjelaskan, hasrat untuk membawa rakannya mungkin terpaksa dipendamkan kerana tiketnya yang mahal selain tiada daya tarikan di situ.
"Saya sendiri rasa malu untuk membawa rakan saya ke sini.
"Sepatutnya kawasan ini menjadi tempat paling menarik untuk dikunjungi," jelasnya.-bharian
No comments:
Post a Comment