Wednesday, May 4, 2011

Pakistan nafi bunuh Osama



WASHINGTON 3 Mei – Pembunuhan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden oleh pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) bukanlah satu operasi bersama dengan Pakistan, kata Presiden Asif Ali Zardari menerusi satu ruangan pendapat yang disiarkan di Washington Post, semalam.
Presiden itu dalam ruangan tersebut turut menolak sebarang tanggapan menyatakan negaranya gagal mengambil tindakan ke atas Osama yang berada di dalam wilayahnya.
Zardari berkata, lokasi Osama dibunuh di bandar Abbottabat, utara Islamabad juga tidak diketahui pihak berkuasa Pakistan.
“Dia tidak berada di lokasi yang kami jangkakan, tetapi kini dia telah terkorban.
“Walaupun serbuan kelmarin bukan satu operasi bersama, kerjasama dan perkongsian (maklumat) selama 10 tahun antara AS dan Pakistan membantu menghapuskan Osama yang dianggap sebagai satu ancaman berterusan kepada dunia bertamadun,” katanya.
Pemimpin Pakistan itu juga berkata, adalah tidak benar sama sekali untuk menyatakan negaranya yang turut terjejas akibat pergerakan militan Osama dengan kehilangan 30,000 nyawa penduduk awam, lambat bertindak atau tidak bersedia menjejak militan.
Malah, beberapa jam sebelum operasi tersebut, penggubal undang-undang AS mempersoalkan bagaimana ketua militan itu boleh tinggal di kawasan padat dengan penduduk tanpa diketahui pihak berkuasa Pakistan, kemungkinan sudah beberapa tahun.
“Beberapa laporan media AS beranggapan Pakistan tidak mempunyai semangat peperangan menentang keganasan atau lebih teruk kami didakwa tidak jujur dan sengaja melindungi pengganas.
“Spekulasi tidak berasas itu mungkin menjadi tajuk berita yang menarik, tetapi ia tidak menjelaskan fakta. Sama seperti negara lain, Pakistan turut membenci al-Qaeda,” katanya. – Reuters

No comments:

Post a Comment