Monday, June 6, 2011

10 tahun hadapi gangguan elektrik



PENDANG – Penduduk Kampung Titi Haji Idris mengeluh apabila lebih 10 kawasan termasuk beberapa kampung berhampiran berhadapan gangguan bekalan elektrik sejak lebih 10 tahun lalu.

Sinar Harian difahamkan bekalan elektrik tidak mencukupi untuk menampung jumlah penduduk dan penempatan di kawasan itu yang semakin bertambah.

Difahamkan, antara yang terlibat termasuk Kampung Alor Pak Ngah, Kampung Banggol Tengah, Sekolah Kebangsaan Titi Haji Idris, Klinik Desa dan premis perniagaan simpang tiga di kawasan berkenaan.

Peniaga, Roslan Mahamood, 43, berkata, walaupun aduan pernah dibuat namun tiada apa-apa jalan penyelesaian diambil pihak berkenaan.

Menurutnya, gangguan bekalan elektrik yang tidak mencukupi itu menyebabkan ada peralatan elektrik yang tidak dapat digunakan dan mengalami kerosakan.

“Sepatutnya pihak berkenaan mengambil tindakan segera memandangkan masalah ini sudah lama berlaku,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja di kedai tayar simpang tiga, Hafiz Said, 20, berkata, kebanyakan daripada penduduk dan peniaga di sini, tidak dapat menjalankan aktiviti harian dengan sempurna.

Menurutnya, apabila bekalan yang digunakan tinggi, akan memberi kesan terhadap lampu isyarat di simpang tiga kawasan itu.

Hafiz berkata, penduduk juga terpaksa berebut membuka lampu rumah, kerana bekalan elektrik yang rendah tidak dapat menampung semua penempatan di kawasan berkenaan.
SH

No comments:

Post a Comment