SANAA: Puluhan ribu rakyat Yaman semalam menari, menyanyi dan menyembelih lembu di Dataran Perubahan di bandar raya ini untuk meraikan pemergian Presiden Ali Abdullah Salleh ke Arab Saudi bagi mendapatkan rawatan akibat cedera dalam serangan kelmarin.
Wanita berpurdah hitam turut menyertai tunjuk perasaan itu dengan membawa sepanduk yang mengalu-alukan pemergian Ali.
Satu sepanduk itu berbunyi: “Penindas sudah pergi, rakyat akan kekal.” “Hari ini Yaman dilahirkan semula,” kata seorang remaja sambil mendapat sorakan daripada orang ramai.
“Inilah masanya. Rejim sudah dijatuhkan,” kata yang lain.
Sementara itu, televisyen milik kerajaan menyiarkan lagu yang memuji pemimpin itu.
Seorang pegawai Yaman berkata, Ali berlepas ke Saudi awal pagi semalam bersama-sama dua isteri dan anaknya.
Seorang pegawai perubatan Saudi yang merawat Ali di istananya dilapor berkata, keadaan presiden itu ‘tidak berapa bagus.’ Dalam pada itu, pembangkang Yaman berkata, mereka akan berusaha untuk menghalang Ali daripada pulang ke negara itu.
“Kami akan bekerjasama memastikan beliau tidak akan kembali,” kata jurucakap parti pembangkang di Parlimen, Mohamed Qahtan.
Ali tidak mengeluarkan sebarang dikri untuk menyerahkan tugas presiden kepada naib presidennya, Sumber lain berkata, ketua tentera Yaman, termasuk anak dan anak saudara Ali masih berada di negara itu dan tidak mengikutnya ke Arab Saudi.
Ali yang memerintah Yaman sejak 1978, mungkin menjadi pemimpin negara Arab ketiga tumbang akibat pemberontakan rakyat tahun ini selepas Tunisia dan Mesir. - Agensi
No comments:
Post a Comment