Dalam operasi kira-kira pukul 4 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 40-an ditahan kerana dipercayai menjadi dalang menyeludup keluar haiwan berkenaan.
Ketua Unit Penguatkuasaan Perhilitan negeri, Khairul Nizam Yahaya berkata, operasi berkenaan adalah yang kedua dilancarkan pihaknya bagi membanteras kegiatan penyeludupan haiwan itu.
Menurutnya, pihaknya menjalankan risikan selama dua minggu setelah memperoleh maklumat terdapat kegiatan penyeludupan tenggiling di sebuah premis di situ.
"Hasil serbuan itu, sepasukan anggota Perhilitan berjaya menahan dua buah kereta Toyota Camry ketika leka memindahkan tenggiling.
"Setelah diperiksa, terdapat berpuluh-puluh ekor tenggiling ditemui dalam kedua-dua but kereta tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Khairul Nizam berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, haiwan itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran untuk sajian kedai makan atau perubatan tradisional.
Menurutnya, harga tenggiling yang tinggi iaitu mencecah RM220 sekilogram dipercayai menjadi pendorong utama penyeludupan haiwan tersebut.
"Tenggiling merupakan hidupan liar berstatus dilindungi sepenuhnya, mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
"Jika disabit kesalahan boleh didenda minimum RM50,000 atau maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi kesalahan menyimpan tenggiling melebihi 20 ekor.
"Bagi kesalahan menyimpan hidupan liar tidak matang pula, denda maksimum RM200,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun boleh dikenakan jika sabit kesalahan," tambahnya.
No comments:
Post a Comment