Monday, June 13, 2011

Rumah dinding buluh



BALING - Walaupun negara terus membangun dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan serba canggih, seorang penduduk di Kampung Wang Kelian, Ramli Yusof, 51, masih mengekalkan penggunaan dinding buluh sebagai tempat berteduh.

Penggunaan dinding buluh semakin dilupakan masyarakat setempat dan memilih kediaman yang lebih selesa.

Menurutnya, dinding buluh di rumahnya berusia lebih dari 50 tahun dan tidak pernah mengalami sebarang masalah.

“Rumah ini merupakan peninggalan arwah ayah saya. Biasalah, orang dulu memang gunakan dinding buluh. Tapi, sekarang memang susah nak jumpa kerana dinding rumah sekarang lebih cantik dan mengikut peredaran zaman.

“Selama ini, saya tinggal di sini, dinding rumah ini tidak pernah ditukar sejak zaman arwah ayah saya lagi. Dinding ini memang kuat kerana menggunakan buluh yang banyak,” katanya.

Menurutnya, buluh yang sering digunakan untuk membuat dinding rumah adalah terdiri dari buluh paib.

“Buluh paib memang kuat, tambahan pula, beberapa bahagian buluh ini dipotong nipis dan dibentuk sehingga menjadi sebuah dinding yang kukuh. Untuk membina dinding yang melibatkan sebuah rumah, ribuan batang buluh perlu digunakan.

“Kesabaran yang tinggi diperlukan untuk membuat dinding kerana pembuatan dinding ini perlu berhati-hati untuk memastikan buluh dapat bertahan lama dan tidak mudah rosak,” katanya.

Ramli berkata, antara kelebihan utama dinding buluh berbanding dinding batu adalah dari segi suhunya.

“Rumah yang menggunakan dinding buluh akan lebih sejuk berbanding dinding batu kerana dinding buluh mempunyai ruang kecil yang membolehkan angin masuk menerusi dinding ini.

“Maknanya, rumah seperti ini memang tidak memerlukan kipas kerana angin sentiasa memenuhi ruang rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramli berkata, penggunaan dinding buluh ini sering mendapat perhatian masyarakat setempat terutamanya bandar.

“Kalau musim raya, sanak saudara dari bandar akan datang ke kampung ini. Jadi, mereka akan berkunjung ke rumah saya untuk melihat keunikan dinding buluh yang jarang ditemui ini.

“Penggunaan dinding buluh memang akan menarik perhatian orang ramai kerana dinding buluh ini mempunyai keunikan tersendiri,” katanya

Menurutnya, dinding buluh ini merupakan seni yang perlu diketahui anak muda zaman ini.

“Mana ada anak muda yang membesar dalam rumah yang berdindingkan buluh. Zaman sekarang, sesusah mana pun seseorang itu, rumahnya pasti berdindingkan papan bukan berdindingkan buluh. Saya tidak akan menukar dinding ini selagi dinding ini masih elok,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment