Monday, June 13, 2011

Keluarga nelayan kecewa



PONTIAN – Beberapa ahli keluarga yang ditemui, melahirkan rasa kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pekan Baru menolak rayuan pembebasan enam nelayan tempatan yang ditahan hampir tiga bulan di Penjara Bengkalis.

Bapa salah seorang nelayan yang ditahan, Reduan Aris, Aris Baba berkata, harapan keluarga untuk bertemu dengan nelayan yang ditahan semakin kabur memandangkan rayuan di Pekan Baru sudah ditolak.

“Saya terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi, tetapi tiada apa yang mampu kami lakukan selain terus berdoa,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pontian Besar, semalam.

Menurutnya, dia kecewa kerana peluang untuknya dan ahli keluarga nelain lain bertemu dengan enam mereka dalam tempoh terdekat masih buntu apabila kes ini akan dipindahkan ke Mahkamah Agong di Jakarta.

“Kami sekeluarga bertambah bingung dan keliru, kerana banyak janji yang diberikan bagi membebaskan nelayan yang ditahan melalui media massa dan cetak, tetapi sehingga kini ia masih kosong,” katanya.

Beliau turut menuntut, kata-kata nelayan yang ditahan akan dibebaskan melalui saluran diplomatik oleh Koordinator Informasi Sosial dan Budaya, di Kedutaan Indonesia di Malaysia, Surayana Sastradiredjo

“Rayuan demi rayuan mengikut saluran diplomasi telah dibuat, namun tetap juga ditolak oleh mahkamah sehingga terpaksa dibawa ke Jakarta,” katanya.

Harapan terus disandarkan agar rayuan terakhir di Jakarta akan memihak kepada nelayan tempatan berkenaan yang ditahan sejak Mac lalu.

Sementara itu, abang kepada Ibrahim Mohd Kassim, Tahir Mohd Kassim, merayu agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, campur tangan dalam hal ini sepertimana yang disuarakan ketika bertemu Presiden Indonesia ketika Sidang Kemuncak Negara-Negara Asean.

“Kami merayu agar Perdana Menteri campur tangan bagi pembebasan enam nelayan tempatan yang ditahan,” katanya.

Menurutnya, ketika berbual dengan adiknya di telefon baru-baru ini, perasaan hampa dengan keputusan Mahkamah Pekan Baru, jelas terdengar, dan rasa sedih tidak dapat disembunyikan.

“Adik sangat hampa dan berputus asa seolah-olah tiada jalan penyelesaian bagi membebaskan mereka dan terpaksa akur dengan hukuman penjara selama 30 bulan yang dijatuhkan Mahkamah Bengkalis,” katanya.

Selain itu, sejak adiknya ditahan di Bengkalis sejak tiga bulan lalu, dia sekeluarga telah mengeluarkan kos yang besar bagi menampung perbelanjaan adiknya ketika ditahan.

“Kami sekeluarga terus berharap agar kesemua mereka dapat dibebaskan bagi membolehkan bertemu ahli keluarga dan menyambut bulan puasa serta Hari Raya Aidilfitri bersama,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment