Monday, June 13, 2011

Wanita muda sedia bermadu



Salih Yaccob antara artis yang mangamalkan poligami. – gambar hiasan


BENARKAH sebahagian besar wanita muda di Malaysia kini tidak lagi kisah seandainya ditakdirkan hidup bermadu?

Berdasarkan kajian soal selidik yang dijalankan terhadap 400 responden berusia 18 tahun ke atas baru-baru ini, ramai di antara mereka bersetuju mengizinkan suami berkahwin lain.

Tanggapan ini diperkuatkan lagi menerusi rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang mencatatkan sehingga April ini sahaja, sebanyak 286 kes poligami dilaporkan telah didaftarkan.

Daripada jumlah itu pula, 222 permohonan poligami diluluskan atas perintah mahkamah.

Wartawan unit khas Utusan Malaysia, ROSALINDA MD.SAID dan SITI NURAZLINA JAMALUDIN serta jurugambar ZAKARIA IDRIS, mengupas trend penerimaan berkongsi kasih ini.

KUALA LUMPUR 12 Jun – Wanita negara ini terutama berusia di bawah 30 tahun lebih terbuka untuk hidup berkongsi kasih atau bermadu berbanding dengan mereka melepasi usia tersebut.

Kaji selidik rambang Utusan Malaysia ke atas 400 responden sekitar ibu kota mendapati, walaupun jumlah yang menentang poligami melebihi daripada kumpulan menerima, namun terlihat perubahan baru apabila golongan wanita muda tidak lagi kisah dengan status bermadu.

Berdasarkan jumlah responden ditemui, sebanyak 46 peratus atau 182 akan membenarkan bakal suami atau suami mereka berpoligami. Daripada 182 responden itu pula, hampir 60 peratus atau 108 orang adalah terdiri daripada wanita muda berusia di bawah 30 tahun.

Sementara itu, sebanyak 53 peratus atau 213 responden, kebanyakannya berumur lebih 30 tahun pula lebih rela bercerai jika suami mereka berkahwin lain manakala satu peratus lagi secara berterus-terang mengatakan tidak berminat untuk mengetahui tindakan suami di belakang mereka.

Antara alasan diberikan mereka yang enggan berpoligami ialah tidak sanggup berkongsi kasih sayang selain mengaitkannya dengan tahap kemampuan kewangan seseorang lelaki itu.

Bagi yang bersedia untuk berpoligami, ia didorong perasaan takut menanggung dosa kerana tindakan itu dibenarkan oleh agama.

Dalam masa sama, mereka lebih menghormati suami yang bertanggungjawab dan jujur.

Berhubung soalan tentang punca wanita muda mudah terpikat kepada lelaki berstatus suami orang, ramai memilih faktor kewangan kukuh dan sikap romantik ditunjukkan mereka.

Sementara itu, berkaitan soalan - jika anda bercinta dengan suami orang, sanggupkah anda bernikah secara senyap-senyap di Thailand, hasil diperoleh ialah sebanyak 89.5 peratus responden memberikan jawapan tidak sanggup manakala 10.5 peratus lagi bersedia menghadapi apa sahaja rintangan.

Utusan Malaysia Online - Laporan Khas

No comments:

Post a Comment