Thursday, June 16, 2011

Bekas Ketua Wanita PKR fail saman RM6 juta

GEORGETOWN: Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Aminah Abdullah, semalam, memfailkan saman fitnah berjumlah RM6 juta terhadap lima individu dan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) kerana mengeluarkan kata-kata fitnah dan kecaman berbentuk peribadi terhadapnya yang disiarkan dalam Harakah edisi 16-18 Jamadilakhir 1432 atau 20-22 Mei 2011.

Individu terbabit ialah Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Norhayati Jaafar; Timbalan Ketua Cabang PKR Bukit Mertajam, Jab Samad; Setiausaha PKR Cabang Jelutong, Anuar Kamarudin; Wartawan Harakah, Mohd Sabri Said dan Ketua Pengarangnya, Ahmad Lutfi Othman.


Aminah, 59, yang kini memegang jawatan Pengerusi Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM) memfailkan saman itu melalui Tetuan Ambar & Azah di Mahkamah Tinggi, di sini, kira-kira jam 11.20 pagi semalam.

Beliau diiringi peguamnya, Saiful Ambar Abdullah Ambar; suaminya yang juga penasihat PKIM, Mohd Rofi Osman; Ahli Jawatankuasa PKIM, Hazlina Mohd Ibrahim dan penyokong, Ali Akbar.


Dalam pernyataan tuntutan itu, Aminah berkata Harakah menyiarkan kenyataan fitnah beliau diumpan kebendaan oleh Umno untuk mengkritik dan mendedahkan kelemahan kepemimpinan PKR.


Katanya, berita bertajuk ‘Kenyataan Aminah bertentangan Syariat’ dalam edisi terbabit, dibuat menerusi kenyataan tiga individu yang memegang jawatan dalam PKR negeri dan Cabang Jelutong di Galeri Pejuang Cheruk Tok Kun.

“Mohd Sabri pula berniat jahat melaporkan kenyataan fitnah terbabit manakala Ahmad Lutfi membenarkan kenyataan terbabit disiarkan dan Pas selaku pemilik Harakah, menyiarkan keseluruhan kenyataan terbabit,” katanya.


Aminah berkata, antara tuduhan yang dilemparkan kepadanya ialah, dirinya seorang yang jahil agama dan tiada sebarang pengetahuan syariat Islam; dia menggesa Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bercerai dengan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

myMetro | Bekas Ketua Wanita PKR fail saman RM6 juta

No comments:

Post a Comment