PUTRAJAYA: Undang-undang sivil tidak boleh menghalang seseorang untuk keluar Islam kerana hak kebebasan beragama diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang.
Namun, katanya, undang-undang jenayah syariah boleh dikenakan ke atas orang Islam yang cuba keluar Islam.
“Sebelum ini pun sudah banyak kes dibawa ke mahkamah berhubung cubaan keluar Islam dan dalam kes ini, mahkamah kita lebih berhati-hati,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau mengulas pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen, kelmarin, mengenai 686 orang Islam mengemukakan permohonan di mahkamah syariah di seluruh negara untuk meninggalkan Islam dari 2000 hingga 2010. Musa berkata, pihaknya kesal dan dukacita dengan jumlah kes percubaan untuk meninggalkan Islam. Namun, katanya, sebagai perbandingan, menteri terbabit juga perlu mendedahkan statistik mereka yang memeluk Islam supaya masyarakat boleh membuat perbandingan sama ada perkara itu serius atau tidak.
“Umat Islam kena terima perkara ini dengan hati terbuka dan perlu muhasabah diri kenapa ada orang keluar Islam, sedangkan Islam adalah agama yang cukup mudah, cintakan kedamaian, keharmonian dan kasih sayang.
“Sebenarnya orang Islam sendiri tidak menunjukkan contoh teladan yang baik, bergaduh sesama sendiri, tidak bersatu, tuduh menuduh, bertikam lidah, malah memburukkan satu sama lain,” katanya.
Justeru, beliau mahu pihak berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri menggiatkan usaha dakwah dan mencari mekanisme yang lebih berkesan.
“Saudara baru perlu dibimbing dan dipantau dari semasa ke semasa sehingga hati mereka benar-benar sebati dengan Islam.
“Masyarakat juga berperanan membantu kerajaan mengesan dan melaporkan orang yang didapati cuba murtad supaya mereka boleh dibimbing semula kembali kepada Islam,” katanya.
No comments:
Post a Comment