Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya turut telah merakam percakapan Raja Petra yang juga pengendali blog Malaysia Today itu di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
"Kita masih lagi menjalankan siasatan dan kertas siasatan masih lagi dengan kita," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutupan kursus Ketua-Ketua Polis Daerah seluruh negara di Maktab PDRM, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Khalid memberitahu, ejen 'senyap' rangkaian kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI), Agus Salim yang ditahan di Johor Bahru, baru-baru ini dijangka dihantar pulang ke negara asalnya selepas tamat tempoh tahanan selama 60 hari.
Beliau berkata, Agus yang ditahan mengikut Akta Imigresen kini ditahan pihaknya untuk siasatan.
"Apabila selesai tempoh tahanan nanti kita akan hantar dia pulang," katanya.
Sementara itu, Khalid menjelaskan, pihaknya sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti dan menghalang cubaan menggodam laman web rasmi kerajaan.
Katanya, walaupun jenayah siber di negara ini menunjukkan peningkatan ekoran perubahan globalisasi dan peredaran masa namun, pihaknya akan memastikan jenayah itu dapat dipantau.
"Jenayah siber yang berlaku di negara kita sekarang bukan sahaja penggodaman tetapi juga dari segi salah guna Internet dan penipuan. Oleh itu, kita sedang berusaha ke arah itu untuk memantau serta mengawal perkara tersebut," katanya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah
No comments:
Post a Comment