BENGHAZI: Nato buat kali pertama menggunakan helikopter pejuang untuk menyerang tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Menurut kenyataan Nato, sasaran serangan itu termasuk kenderaan, kelengkapan dan kedudukan tentera.
Ia bagaimanapun tidak menyebut lokasinya.
Helikopter Apache milik tentera Britain, Gazelles dan Tigres milik tentera Perancis terbabit dalam serangan berkenaan.
Agensi berita tempatan Britain, PA melaporkan, serangan itu memusnahkan pos radar dan sebuah pusat pemeriksaan berhampiran Brega, sebuah bandar pesisir pantai.
Fasa baru serangan itu adalah sebahagian daripada kempen serangan udara yang diluluskan oleh ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kononnya untuk melindungi orang awam Libya daripada tentera yang setia kepada Gaddafi.
Jurucakap tentera Perancis, Thierry Brukhard berkata, helikopter tentera negara itu berjaya memusnahkan kira-kira 20 sasaran. Dalam kenyataannya, Nato berkata, penggunaan helikopter itu membolehkannya menjejaki secara lebih berkesan tentera Gaddafi walaupun mereka berlindung di kawasan berpenduduk padat. - Reuters
No comments:
Post a Comment