SEBAHAGIAN pengunjung menunggu ketika membeli makanan di pasar malam Khlong Hae, Songkhla. |
BANGKOK: Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) dengan kerjasama hotel dan rakan industri pelancongan negara itu melakukan persediaan untuk menarik pengunjung Asia Barat ke Thailand dengan promosi ‘rumah jauh dari tanah air’ pada musim panas ini dengan memperkenalkan Pakej Istimewa Ramadan dan aktiviti berkaitan.
Pakej itu, diwujudkan khusus untuk menarik pengunjung Asia Barat dan Islam, dipromosi di kalangan ejen pelancongan Asia Barat dan pengguna dalam cubaan menaikkan bilangan pelancong dari negara berkenaan sepanjang tempoh istimewa itu.
Teras kepada kebanyakan Pakej Ramadan yang ditawarkan adalah pelbagai perkhidmatan, aktiviti dan acara dianjurkan hotel utama Thailand, dengan kebanyakannya menawarkan perkhidmatan berbuka dan bersahur khas selain menu halal biasa.
Kebanyakan hotel turut menawarkan semangkuk buah-buahan segar pada masa sesuai selepas ketibaan tetamu beragama Islam.
Centara Hotels and Resorts menawarkan manfaat eksklusif kepada pengunjung Arab ke Thailand dengan memastikan cuti musim panas mereka digabungkan dengan keselesaan di rumah. Kakitangan perhubungan awam boleh berbahasa Arab bersedia menyambut tetamu dan bilik hotel dilengkapi sejadah serta arah kiblat.
Akhbar berbahasa Arab, saluran televisyen, pilihan makanan halal antara yang boleh dipesan menerusi perkhidmatan menu bilik serta kawasan santai khusus untuk wanita dan kanak-kanak serta kemudahan spa menjadi antara perkhidmatan tambahan.
Peruntukan khas untuk Ramadan seperti berbuka dan sahur, sesi beli-belah eksklusif waktu malam dan masa pembukaan lanjutan spa dipromosi di kebanyakan kemudahan Centara, Lebua dan Trisara.
Sebagai tambahan, pakej ‘Marhaba’ Dusit Thani di sini untuk Ramadan menyasarkan membantu pelawat dari Asia Barat menikmati percutian menenangkan dengan melarikan diri daripada musim panas negara mereka ke tropika hijau di Thailand, selain pengalaman membeli belah dan bersiar-siar.
Amari Boulevard Bangkok milik Onyx Hospitality Group juga akan merancang makanan khas berbuka dan bersahur serta maklumat berhubung lokasi masjid berhampiran serta masa bersolat di meja penyambut tetamu hotel itu.
Pramoth Supyen, Pengarah TAT yang beribu pejabat di Dubai dan Asia Barat, berkata: “Pelawat dari Asia Barat meningkat selain melihat banyak hotel Thailand dan industri pelancongan secara umum membuat acara khusus bagi memastikan pelawat dari rantau ini dilayan dengan baik.
“Dengan kata-kata aluan selamat datang dikenali sebagai ‘Thainess’, semua rakyat Thailand bersedia menyambut pelancong dari Asia Barat untuk menikmati Ramadan di sini.” – Agensi
INFO
Warisan Thailand
Berita Harian Online | Thailand goda pelancong Arab
No comments:
Post a Comment