Sunday, June 5, 2011

Kerap sebut soal mati

SEREMBAN: “Dua tiga hari ini adik saya yang ceria berubah menjadi pendiam malah kerap bercakap soal kematian, bagai tahu dia akan pergi buat selama-lamanya,” kata Puzilah Harun, 43, kakak tiri kepada seorang daripada dua mangsa yang terbunuh dalam kemalangan di Jalan Mantin-Lenggeng, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, dua anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang bertugas di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Amran Ahmad, 36, dan Zainal Abidin Nordin, 46, maut dalam kemalangan selepas motosikal ditunggang dirempuh kenderaan pacuan empat roda ketika dalam perjalanan pulang ke Nilai bagi menghadiri kenduri memasuki rumah baru Puzilah.


Menurut Puzilah, dia yang baru memasuki rumahnya terkejut menerima berita kemalangan itu, sedangkan mereka 10 beradik menunggu kepulangan anak keenam dalam keluarga itu.

“Saya menghidangkan makanan untuk adik (Amran) dan menunggunya hingga jam 12 tengah malam, kerana biasanya dia pulang jam 11 malam selepas selesai bertugas di depot itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, semalam.


Puzilah berkata, dia menerima berita itu kira-kira jam 12.30 pagi daripada rakan adiknya yang memberitahu arwah meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan.


“Saya terkejut kerana dia memang tinggal bersama saya dan suami sejak beberapa tahun, malah arwah tidak sempat menjamah masakan kenduri.

“Saya bagai tidak percaya, namun sebaik ke hospital, doktor mengesahkan mayat itu adalah adik saya dan kenduri kesyukuran yang dibuat pada malam kelmarin akan bersambung kenduri tahlil pada malam ini (semalam),” katanya.


Menceritakan mengenai perubahan adiknya pada saat terakhir, Puziah berkata, arwah memberitahu dia tidak sihat, malah selalu bercakap mengenai kematian.

myMetroKerap sebut soal mati

No comments:

Post a Comment