Sunday, June 5, 2011

Israel sebar wabak rantau Mediterranean


 DR  MAHATHIR  dan Dr Siti Hasmah menyambut kepulangan sukarelawan dan aktivis keamanan yang tiba di KLIA, malam tadi.
DR MAHATHIR dan Dr Siti Hasmah menyambut kepulangan sukarelawan dan aktivis keamanan yang tiba di KLIA, malam tadi.

Halang hantar paip ke Gaza punca pencemaran: Mahathir

SEPANG: Israel sepatutnya membenarkan misi kemanusiaan Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF) menghantar bekalan paip PVC ke Gaza kerana ia bukan saja memanfaatkan rakyat Palestin malah membantu rejim haram Tel Aviv mengelak krisis pencemaran teruk di perairan negara itu.
Bekas Perdana Menteri yang juga Presiden PGPF, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata penghantaran bekalan paip PVC itu bertujuan membaiki sistem pembetungan kumbahan serta penyediaan loji penapisan air yang musnah teruk akibat serangan tentera Israel.
“Air kumbahan yang mengalir ke Laut Mediterranean mungkin akan mencemarkan perairan serta bekalan air bersih di kawasan sekitarnya.

“Ini sekali gus mencetuskan wabak yang boleh membahayakan penduduk di sekitar laut itu termasuk Israel. Tetapi rejim zionis Israel enggan membenarkan (bekalan paip PVC dihantar) kerana mereka terlalu angkuh,” katanya ditemui selepas menyambut kepulangan empat sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan The Spirit of Rachel Corrie ke Gaza di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Empat sukarelawan itu ialah Ketua Misi, Mathias Chang, 63; Kapten Spirit of Rachel Corrie, Jalil Mansor, 56; Mohd Jaffrey Ariffin, 23, dan jurutera, Zainuddin Mohamad, 39.

Empat lagi aktivis misi itu yang selamat tiba ialah aktivis perang Ireland, Derek Graham, 43, dan Jenny Graham, 42, serta dua krew kapal dari India, Sharma Chandan Shimla, 20, dan Pal Satya Prakash, 22.
Turut hadir, Penasihat Kehormat PGPF, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Pengerusi PGPF, Tan Sri Norian Mai.

Sementara itu, Chang membidas kenyataan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon yang disifatkannya seolah-olah 'merestui' tindakan Isreal mengenakan sekatan terhadap kemasukan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Chang berkata, ini kerana Ki-Moon mengarahkan semua bantuan ke Gaza perlu dilakukan menerusi saluran sah dan mendapat kelulusan Israel, bukannya menerusi flotilla.

“Kenyataan Ban Ki-Moon adalah tidak logik kerana Israel memang tidak akan membenarkan sebarang bantuan kemanusiaan sampai kepada rakyat Palestin sama ada menerusi jalan darat atau laut.

“Kenyataan itu menggalakkan lagi rejim Israel meneruskan kekejaman,” katanya. Berita Harian Online | Israel sebar wabak rantau Mediterranean

No comments:

Post a Comment