TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, berkata dia tidak takut mati dan berikrar terus menentang tekanan Nato, semalam.
Kata Gaddafi, tenteranya akan terus berjuang, manakala perang di Libya juga akan berpanjangan sehinggalah Barat dihapuskan.
Bagaimanapun, katanya, Libya tidak akan dapat dikalahkan.
“Tiada lagi perjanjian selepas anda (Barat) membunuh anak dan cucu kami. Anda boleh pulang,” katanya.
Sebelum itu, Gaddafi menziarahi rumah sahabatnya, Khuwildi Hemidi, yang kehilangan beberapa anggota keluarga akibat serangan Nato, Isnin lalu.
Kata Gaddafi, rakyat Libya tidak boleh ditakut-takutkan dengan serangan ke atas negara Islam yang mensasarkan orang awam serta kanak-kanak itu.
Sebelum ini, Nato mengakui jet tenteranya menyerang Surman di barat Tripoli, tetapi menegaskan sasarannya ialah kepentingan tentera LIbya.
Sebaliknya, Libya mendakwa serangan “pengecut” itu membunuh 15 orang awam, termasuk tiga kanak-kanak dan tidak boleh diterima sama sekali.
Sasaran Nato, dakwa Libya, ialah kawasan kediaman Khuwildi yang pernah berjuang bersama Gaddafi satu ketika dulu.
Gaddafi turut mempertikaikan hak Nato menyerang ahli politik dan keluarga mereka di Libya.
Katanya, pejabat Khuwildi di Tripoli pernah dibom empat kali sebelum ini.
“Nato memang sengaja mensasarkan Khuwildi kerana dia seorang wira.
“Selepas gagal menemuinya di pejabat, mereka menyerangnya di rumah,” katanya. Gaddafi juga berjanji membina tugu “tertinggi di Afrika Utara” untuk memperingati cucu perempuan Khuwildi yang baru berusia empat tahun, Khaleda, yang terbunuh dalam serangan Nato pada Isnin lalu. - AFP
No comments:
Post a Comment