Nancy Ajram
BEIRUT: Penyanyi terkenal Lubnan, Nancy Ajram diberi penghormatan membantu memulihkan sektor pelancongan di Mesir yang bermasalah sejak dilanda kekacauan politik hingga menumbangkan Presiden Hosni Mubarak.
Bagi menyemarakkan semula minat pelancong asing, Mesir mengundang penyanyi terkenal Lubnan itu untuk menyanyi dalam konsert mega yang digelar Wahashteeni ya Masr (Aku Merinduimu Mesir) di bandar raya Rehab, 14 Julai depan.Akhbar al Bayan yang berpejabat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) melaporkan, Nancy mengambil bahagian dalam konsert itu untuk membantu memulihkan sektor pelancongan Mesir dan meningkatkan semula minat pelancong dari rantau Arab dan Eropah ke negara itu.
Ia juga bertujuan meyakinkan pelancong asing bahawa Mesir adalah negara yang selamat dan stabil untuk dikunjungi.
Pengarah Agensi Pengiklanan Al Qadisyah, berkata syarikatnya memilih Nancy berikutan populariti penyanyi di Mesir dan dunia Arab.
“Nancy juga adalah antara penyanyi yang diketahui amat sukakan Mesir dan menyanyi lebih daripada satu lagu yang menyatakan kecintaannya kepada negara itu. Nancy juga tidak teragak-agak mempersetujui tawaran yang diberikan kepadanya untuk menyanyi di konsert itu,” katanya yang dipetik akhbar itu. – Agensi
No comments:
Post a Comment