KLANG: Terkejut dengan penyata tunggakan hutang penyelenggaraan berlipat kali ganda, sekumpulan 11 pemilik premis di Kompleks Desa, Jalan Kepong, di sini, tampil mengadu bagi menuntut keadilan.
Mereka mempersoalkan bagaimana bil penyelenggaraan premis yang dikeluarkan Perbadanan Pengurusan Kompleks Desa (PPKD) mencecah tiga kali ganda dalam tempoh kurang setahun.
Seorang daripada mereka, Lee Jah Jun, berkata tunggakan bil penyelenggaraan pada Oktober tahun lalu sebanyak RM53,751.55 dan meningkat RM90,381.40 pada April lalu dan pada Jun ini jumlahnya RM195,149.30.
Katanya, bil yang diterimanya daripada PPKD tidak logik kerana dalam dua bulan iaitu dari April hingga Jun ini, caj penyelenggaraan dan hutang premisnya dianggarkan lebih RM100,000.
“Berdasarkan bil penyata itu, ia mencatatkan caj dikira mulai 2000, tetapi pengurusan Kompleks Desa bermula pada 2007,” katanya ketika membuat aduan kepada Ketua MCA bahagian Kapar, Datuk Song Kee Chai, di sini, kelmarin.
Seorang lagi pemilik premis yang enggan dikenali berkata, tunggakan yang diterima menjangkau RM847,189 pada Jun tahun lalu berbanding tunggakan pada Disember tahun lalu, RM183,848.70.
“Ini tidak adil kerana jika mengikut kadar, tunggakan dan caj yang dikenakan ke atas saya tidak mungkin hampir mencecah RM1 juta.
“Kadar yang ditetapkan sebelum ini ialah 60 sen bagi satu kaki persegi dan minimum RM250 bagi setiap lot. Lot paling besar mungkin dikenakan sehingga RM8,000,” katanya.
Sementara itu, Kong berkata, masalah itu dikhuatiri akan bertambah serius kepada kira-kira 300 pemilik premis di kompleks itu jika tidak ditangani segera.
“Sehubungan itu, saya akan menghantar surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Controller Of Buildings (COB) bagi mengatasi masalah ini. Mereka seolah-olah ditindas dan perlu diberi keadilan sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, wakil PPKD ketika dihubungi berkata, tunggakan itu meningkat kerana pemilik premis terbabit tidak pernah membayar caj ke atas premis mereka.
No comments:
Post a Comment