SUNGAI PETANI: “Saya berharap mereka (ibu dan bapa mentua) dapat mengubah pendirian dan dapat menerima hakikat saya adalah suami sah kepada Nornashuha dengan merestui perkahwinan kami,” kata Mazri Sharif,30, suami Nornashuha Azmi, 22, yang dilarikan tiga lelaki dari rumahnya dua hari lalu.
Mazri berkata, mentuanya sepatutnya mengenepikan pendirian mereka dia tidak setaraf dengan kedudukan mereka kerana dia dan Nornashuha sudah berkahwin dan perkahwinan mereka sah di sisi agama dan undang-undang.
“Saya merayu mereka mengubah sikap dan memulangkan isteri saya. Berilah peluang kepada saya dan Nornashuha untuk menjalani kehidupan suami isteri seperti mana pasangan lain.
“Restuilah perkahwinan kami. Takdir sudah menentukan saya dan Nornashuha menjadi pasangan suami isteri, malah kami berdua juga sudah mempunyai seorang anak walaupun hakikatnya saya tidak pernah diberi peluang melihatnya sejak dilahirkan awal Januari lalu.
“Saya sama sekali tidak akan meninggalkan Nornashuha biarpun kedua ibu bapanya memaksa berbuat demikian. Saya harap Nornashuha dipulangkan kerana dia isteri saya yang sah,” katanya ketika dihubungi semalam. Harian Metro semalam, melaporkan sepasang suami isteri mengalami detik cemas dan mengaibkan apabila dibogelkan tiga lelaki bertopeng bersenjatakan parang dan rotan yang memecah masuk rumah mereka kira-kira jam 4 pagi, Rabu lalu.
No comments:
Post a Comment