HULU TERENGGANU: “Saya rasa tak sabar nak ke Makkah dan lebih bermakna apabila dapat bersama suami untuk mengerjakan umrah bulan depan,” kata Mek Wook Kondor, 108, yang akan berangkat ke Tanah Suci pada 22 Julai ini bersama suaminya, Mohd Noor Musa, 39.
Katanya, sebelum ini dia pernah menunaikan haji, dan pemergiannya ke Tanah Suci kali ini disifatkan lebih istimewa kerana ditemani suami tercinta selain mempunyai pelbagai doa untuk dipanjatkan di hadapan Kaabah nanti.
“Paling utama saya nak minta supaya dikuatkan iman menghadapi apa saja cabaran dan harapan rumah tangga berkekalan jodoh dan murah rezeki.
“Saya ingin berdoa supaya suami berubah ke arah kebaikan dan tidak terbabit dengan perkara buruk lagi seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat, di sini, kelmarin.
Menurutnya, semakin dekat menjelang tarikh ke Tanah Suci, dia diuji dengan pelbagai perkara apabila rumahnya dipecah masuk pencuri April lalu buat kali kedua dan kelmarin pula, dia kehilangan dua cincin dipercayai terjatuh ketika menebas rumput di pekarangan rumah.
Namun, katanya, dia percaya apa saja perkara dilaluinya mempunyai hikmah dan tidak sedikitpun melunturkan semangatnya.
“Biarlah, mungkin cincin itu bukan rezeki saya lagi, esok lusa ada rezeki lain mana kita tahu. Apa pun kita kena reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Sementara itu, Mohd Noor berkata, dia bersyukur kerana impiannya untuk ke Tanah Suci dipermudahkan laluannya dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu terutamanya isteri tercinta yang menanggung penuh kos perbelanjaan menunaikan umrah.
Katanya, selain mereka berdua, seorang abangnya dan isterinya yang menetap di Kelantan akan bersama mereka menunaikan umrah melalui sebuah agensi pelancongan di Kota Bharu.
“Sudah lama saya berniat nak pergi ke Makkah tapi tidak tahu bila, kebetulan isteri ada duit simpanan sikit dapatlah ke sana.
“Saya harap dengan pemergian ke Tanah Suci dapat mengubah diri saya ke arah kebaikan. Saya nak berdoa supaya betul-betul berubah dan tidak terbabit lagi dengan perangai lama,” katanya.
No comments:
Post a Comment