Saturday, June 4, 2011

Seksa lebih setahun berakhir


SELAMAT ...anak kapal MV Banga Biraj yang terkandas membawa turun beg pakaian  ke bot peronda Polis Marin, semalam.
SELAMAT ...anak kapal MV Banga Biraj yang terkandas membawa turun beg pakaian ke bot peronda Polis Marin, semalam.

PELABUHAN KLANG: Penantian lebih setahun 15 anak kapal MV Banga Biraj yang mendakwa terkandas dan hidup susah di negara ini selepas kapal berkenaan ditahan pihak berkuasa berakhir apabila diselamatkan dalam satu operasi, semalam.
Operasi bersama digelar Ops Pintas diketuai Unit Anti Pemerdagangan Orang (Atip) Bukit Aman, Pasukan Polis Gerakan Marin Pelabuhan Klang, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Majlis Pemerdagangan Manusia Selangor bermula jam 12.30 tengah hari dan berakhir 5.30 petang.

Ketua Operasi Atip, Deputi Superintendan Nor Omar Sappi, berkata siasatan awal pihaknya terhadap semua kru kapal MV Banga Biraj yang terkandas kira-kira enam batu nautika dari Pelabuhan Klang itu mendapati 15 anak kapal itu hidup tertekan.
“Keseluruhan pasukan operasi menyelamat bekerjasama membawa 15 kru kapal MV Banga Biraj terdiri daripada 13 warga Bangladesh dan dua warga Indonesia terbabit untuk diberi perlindungan di penempatan sementara sebelum mendapat perintah dari mahkamah bagi Perintah Perlindungan Sementara (IPO),” katanya ketika ditemui ketika Ops Pintas di atas kapal berkenaan, di sini, semalam.

Hadir sama, Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam dan Penolong Pengarah Tenaga Kerja Selangor, Rhymie Mohd Ramli.

Kapal MV Banga Biraj ditahan di perairan Pelabuhan Utara berikutan berlaku tuntutan Northport Sdn Bhd selepas terlanggar dan merosakkan kren di pelabuhan itu dan perintah mahkamah yang diperoleh pada 4 Mei tahun lalu membolehkan kapal ditahan. Sementara itu, kelasi, Mohd Kafiluddin Munshi, 34, yang pernah cuba terjun ke laut akibat terlalu tertekan sebelum diselamatkan kru lain, berkata dia bersyukur mendapat peluang untuk pulang ke kampung halamannya Joypur, Chagalnaiya, Bangladesh.
Katanya, selama ini dia terlalu sedih mengingatkan dua anak perempuan berusia empat dan satu setengah tahun serta isteri, Semona Begum, 26.

“Empat belas bulan tanpa gaji dan duduk di kapal membuatkan saya rasa macam orang gila. Ketika saya ambil keputusan nak terjun ke laut itu saya terlalu kecewa dan sedih.
“Kami turut mengenangkan keluarga di kampung yang tak tahu entah makan atau tidak,” katanya yang turut berterima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia.

Selepas didaratkan di Pangkalan Polis Marin, di sini, semua anak kapal MV Banga Biraj itu dibawa dengan van untuk diberi penempatan sementara di pejabat Jabatan Tenaga Kerja, Klang.myMetro | Seksa lebih setahun berakhir

No comments:

Post a Comment