Thursday, June 30, 2011

Myanmar ingatkan Suu Kyi hentikan semua kegiatan politik

YANGON 29 Jun – Kerajaan baru Myanmar yang disokong oleh tentera memberi amaran kepada pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi dan partinya supaya menghentikan semua kegiatan politik.

Kementerian Dalam Negeri dalam suratnya kepada pemenang Hadiah Keamanan Nobel itu berkata, partinya, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) melanggar undang-undang dengan terus mengendalikan pejabat parti, mengadakan mesyuarat dan mengeluarkan kenyataan.

“Jika mereka benar-benar mahu menerima dan mengamalkan demokrasi dengan berkesan, mereka perlu menghentikan tindakan sedemikian yang boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan, kedaulatan undang-undang dan perpaduan di kalangan rakyat termasuk sami dan pasukan keselamatan,” menurut surat yang dipetik oleh akhbar rasmi New Light of Myanmar, hari ini.

Suu Kyi, 66, dibebaskan pada November lalu setelah ditahan di rumah selama tujuh tahun berturut-turut, kurang seminggu selepas pilihan raya umum yang dilabel oleh pengkritik sebagai sandiwara bagi mengekalkan pemerintahan tentera di sebalik kerajaan awam di Myanmar.

NLD dibubarkan oleh junta tentera tahun lepas kerana memulaukan pilihan raya itu dengan alasan peraturannya tidak adil.

New Light of Myanmar berkata, NLD boleh bertukar menjadi sebuah pertubuhan masyarakat dengan syarat ia mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Akhbar berbahasa Inggeris itu turut memberi amaran, jelajah politik yang dirancang oleh Suu Kyi boleh mencetuskan huru-hara.

“Kami amat bimbang jika Suu Kyi melakukan lawatan ke kawasan luar bandar, huru-hara dan rusuhan boleh berlaku, seperti yang dibuktikan oleh insiden-insiden sebelum ini.

– AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment