JURUGAMBAR cuba merakam wajah enam individu yang ditahan selepas anggota polis menyerbu sebuah rumah di Petaling jaya, semalam. |
PETALING JAYA: Polis semalam menyerbu sebuah rumah yang dilaporkan beroperasi sebagai pusat Sekretariat Gabungan Bersih dan Adil (BERSIH) di Jalan 4/48E, Seksyen 4, di sini dan merampas pelbagai bahan menganjurkan perhimpunan haram pada 9 Julai ini.
Empower adalah salah sebuah organisasi badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong BERSIH dan beroperasi sebagai pusat penyediaan dan jualan baju–T BERSIH serta beberapa pelekat berkaitan gabungan berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata dalam serbuan jam 12 tengah hari itu, polis menahan enam individu termasuk dua lelaki dipercayai aktivis BERSIH yang mendakwa sebagai peguam sukarelawan.
Beliau berkata, antara yang dirampas adalah tujuh beg plastik hitam mengandungi 314 baju BERSIH berwarna kuning, 90 (oren) dan 136 (krim) yang tertera perkataan BERSIH.
“Selain itu, kita merampas empat kotak dokumen dipercayai mengandungi maklumat mengenai perhimpunan haram BERSIH selain pelekat, sepanduk dan kain rentang yang memaparkan logo BERSIH,” katanya.
Tun Hisan berkata, hasil pemeriksaan dan siasatan mendapati NGO itu tidak didaftarkan di bawah Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata sehingga kini 101 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan BERSIH ditahan di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 45 orang masih dalam tahanan polis.
Ismail berkata, sehingga kelmarin, sebanyak 1,830 laporan polis dibuat di seluruh negara oleh pelbagai pihak berhubung perhimpunan haram BERSIH.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, mengesahkan polis menyita tapak ceramah BERSIH di Wira Damai, Gombak selain menempatkan anggotanya bagi mengelak berlaku sebarang ceramah politik tanpa permit.
Dalam perkembangan lain, polis merakam keterangan daripada tiga aktivis BERSIH iaitu Maria Chin Abdullah, Irene Fernandez dan Hishammuddin Rais serta Ahli Exco Selangor, Teresa Kok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Di JOHOR: Polis menahan 39 individu termasuk seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun kerana menyebar risalah perhimpunan haram sejak Jumaat sehingga kelmarin.
Di PERAK: Polis menahan 14 orang termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang selepas dikesan membuat persiapan mengagihkan kemeja–T berwarna kuning yang tertera perkataan ‘BERSIH 2011’ kepada pengunjung pasar tani di pekan Sungai Siput, jam 9 pagi, semalam.
Semua mereka termasuk ADUN DAP Jalong, Leong Mee Meng dan ADUN Teja dari PKR, Chang Lih Kang, dibawa ke IPD Sungai Siput untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut. Berita Harian Online | Pusat operasi diserbu, 6 individu kena tahan
No comments:
Post a Comment