Thursday, June 30, 2011

Wang haram: Denda RM5 juta, penjara 10 tahun


KUALA LUMPUR 29 Jun - Mana-mana individu yang didapati bersalah terlibat dalam apa juga kegiatan wang haram akan dikenakan penalti jenayah, penalti sivil dan penalti pentadbiran melibatkan denda sehingga RM5 juta serta penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Hukuman yang lebih tinggi itu akan dikenakan selepas Rang Undang-Undang Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 yang telah diluluskan pada sidang Dewan Rakyat hari ini dikuatkuasakan akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, Rang Undang-Undang itu hasil kajian komprehensif Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap industri pengurupan wang, pengiriman wang dan perniagaan mata wang borong yang ketika ini dikawal selia di bawah Akta Pengurusan Wang 1998, Akta Pertukaran Wang 1953 dan Akta Sistem Pembayaran 2003.

Melalui rang undang-undang itu katanya, BNM diberi kuasa menjalankan pemeriksaan ke atas pemegang lesen, premis perniagaan dan ejen perniagaan perkhidmatan wang.

"BNM juga dibenarkan menjalankan penyiasatan terhadap mana-mana orang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah rang undang-undang itu serta menetapkan peraturan dan gelagat pasaran bagi memudahkan pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang," katanya ketika membentang rang undang-undang tersebut.

Awang Adek berkata, rasional rang undang-undang itu adalah bagi memodenkan industri pengurupan wang, pengiriman wang dan perniagaan mata wang borong supaya menjadi satu industri yang dinamik, berdaya saing dan profesional.

Selain itu katanya, ia juga bertujuan mengawasi sektor bukan bank bagi menangani ancaman penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan serta aktiviti-aktiviti haram.

"Ini adalah penting untuk mengekalkan integriti sistem kewangan Malaysia yang merupakan salah satu faktor penting dalam menentukan daya saing negara," katanya.Utusan Malaysia Online - Parlimen

No comments:

Post a Comment