KUALA LUMPUR 29 Jun - Seperti lelaki lain, Tan Eng Keong mengidamkan kehidupan bahagia selepas mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan yang dikenalinya semasa sama-sama bekerja di Singapura, lapan tahun lalu.
Namun manusia hanya mampu merancang, siapa menyangka mahligai dibina atas dasar cinta itu hanya mampu bertahan selama empat tahun dan terpaksa pula berpisah dengan anak kesayangannya yang dilarikan bekas isteri.
Kisah itu bermula apabila Eng Keong, 31, seorang tukang ubah suai rumah bercerai dengan isterinya, Pau Moi Moi, 32, berasal dari Batam, Indonesia pada 2007.
Pasangan yang bercerai secara baik ini bersetuju untuk menyerahkan hak penjagaan anak mereka, Tan Xin Ru yang kini berusia lapan tahun kepada Eng Keong memandangkan kanak-kanak terbabit merupakan warganegara Malaysia.
Malah Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dalam keputusan pada 27 Julai 2007 turut mengeluarkan perintah agar Xin Ru dijaga oleh bapanya.
Pada peringkat awal, bekas pasangan suami isteri itu tiada masalah untuk membahagi kasih sayang kepada anak tunggal mereka kerana Eng Keong merupakan seorang yang bertolak-ansur dan tidak pernah menghalang Moi Moi datang ke Pulau Pinang bertemu Xin Ru.
Bagaimanapun, masalah timbul apabila Moi Moi mengkhianati kepercayaan Eng Keong apabila enggan memulangkan Xin Ru setelah kanak-kanak itu dibawa pulang ke kampung halamannya pada 21 November 2008.
Menurut Eng Keong, sejak bercerai, Xin Ru tinggal bersamanya, manakala bekas isterinya biasanya datang melawat menjelang sambutan hari kelahiran Xin Ru pada 10 November setiap tahun.
Katanya, pada 10 November 2008, Moi Moi telah datang ke Butterworth untuk bertemu Xin Ru, namun sebelum pulang pada keesokan harinya, dia berbincang meminta agar anak mereka dihantar ke Batam apabila cuti sekolah untuk bertemu ahli keluarga di sana.
"Selang 11 hari kemudian, saya membawa Xin Ru ke Batam untuk bertemu bekas isteri dan dia berjanji memulangkan anak selepas tamat cuti sekolah," katanya pada sidang akhbar di pejabat Biro Pengaduan UMNO di sini, hari ini.
Eng Keong berkata, dia mula menyedari ditipu apabila Moi Moi dan ahli keluarganya menyembunyikan Xin Ru apabila dia sekali lagi datang ke Batam untuk menjemput anaknya pada 6 Februari 2009 dan terus tidak dibenarkan berjumpa dengannya sehingga sekarang.
Menurutnya, dia yang tidak berpuas hati telah mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan semula anaknya termasuk membuat laporan polis di Batam pada 24 Mac lalu tetapi pihak polis di sana memaksanya menandatangani surat persetujuan agar hak penjagaan Xin Ru diserahkan kepada bekas isterinya.
Eng Keong yang tiada pilihan akhirnya meminta bantuan Biro Pengaduan UMNO untuk mendapatkan semula anaknya dan Pengerusinya, Datuk Muhd. Khairun Aseh bersetuju meminta kerjasama polis antarabangsa (Interpol) untuk membawa pulang kanak-kanak itu ke Malaysia.
Dalam pada itu, Muhd. Khairun meminta kerajaan menggubal undang-undang supaya kes penculikan anak-anak oleh ibu bapa diklasifikasikan sebagai kes jenayah bagi memudahkan pihak berkuasa bertindak terhadap mereka yang melanggar perintah mahkmah dan menghalang kanak-kanak dilarikan ke luar negara.Utusan Malaysia Online - Jenayah
No comments:
Post a Comment