CRIS... diberi peluang. — gambar dari Facebook |
KUALA LUMPUR: “Saya tidak cantas sesiapa. Mungkin ia ditakdirkan sebagai rezeki saya,” kata pelakon baru, Cristina Suzanne Stockstill, 26.
Sebelum ini, beberapa laman web sosial mengaitkan namanya yang lebih dikenali sebagai Qistina Cempaka, memintas pelakon jelita, Diana Danielle untuk mendapatkan watak utama, Mia Sarah dalam telefilem berjudul Sentuhan Isabella.
Menurutnya yang lebih selesa disapa Cris, dia tidak pernah berniat mahu memintas sesiapa, tambahan pula statusnya sebagai pendatang baru, dia lebih gemar bersaing dengan pelakon yang lebih popular daripadanya.
“Saya benar-benar terkejut apabila ada cerita mengatakan saya cantas Diana untuk watak itu. Sebenarnya, watak berkenaan diberi kepada saya oleh pengarah telefilem berkenaan berikutan Diana harus menjayakan produksi lain dan tiada masa untuk memberi komitmen dengan watak itu.
“Pada mulanya, saya tidak menyangka diberi watak itu kerana ia watak berat. Lebih-lebih lagi, watak berkenaan dikhaskan untuk Diana. Saya juga tidak yakin dapat membawa watak itu.
“Namun, kerana Diana tidak dapat memberi tumpuan, saya diberi peluang membawanya. Malah, ketika membawa watak itu, saya menerima tunjuk ajar daripada pengarah supaya dapat melakukannya dengan baik.
“Bagaimanapun, Diana masih berlakon dalam cerita itu. Cuma, watak diberi lebih mengikut kesesuaian jadualnya yang padat. Jadi, tidak timbul isu saya pintas sesiapa.
“Diana turut memberi tunjuk ajar kepada saya bagaimana untuk memberi lakonan yang baik,” katanya.
Bagi pengarah filem berkenaan, Osman Ali, dalam perkara itu tidak wujud siapa mencantas siapa untuk mendapatkan watak utama.
Menurutnya, dua watak utama yang dipegang oleh Julia Ziegler dan Cristina diberi mengikut kesesuaian watak dan masa.
“Cristina turut mengikuti ‘casting’ yang diadakan. Sejak itu, saya melihat dia mampu membawa watak itu. Bagaimanapun, ketika itu saya melihat ia lebih sesuai diberi kepada Diana.
“Namun, Diana ada sedikit masalah apabila terbabit dengan beberapa projek lain. Jadi, saya beri peluang itu kepada pendatang baru dalam dunia seni ini.
“Lagipun, saya melihat Cristina mempunyai pakej untuk menjadi pelakon bagus. Dia juga ada bakat besar dalam bidang lakonan dan jika diberi peluang, saya pasti dia mampu berdiri sebaris pelakon popular lain,” katanya.myMetroCris terkejut
No comments:
Post a Comment