CHUKAI: Seorang ibu, Che Engku Esah Che Engku Abas, 60, merayu anak lelakinya Che Engku Nasuha Che Engku Yahya, 32, yang meninggalkan rumah sejak tiga tahun lalu supaya pulang segera ke pangkuan keluarga.
Che Engku Esah berkata, sebelum ini anaknya dikatakan bekerja di kilang papan di Taiping, Perak dan kali terakhir pulang ke rumahnya di Felda Cerul Dua, di sini, pada Disember 2008 untuk menghadiri perbicaraan satu kes di Mahkamah Majistret Kemaman.
Katanya, selepas kembali ke rumah beberapa hari, anaknya pulang semula ke tempat kerjanya di Taiping dengan membawa semua dokumen penting dirinya, termasuk sijil sekolah dan album, tanpa memberitahu tujuan sebenar berbuat demikian.
“Saya hairan melihat anak membawa semua gambar dan dokumen diri bersamanya dan apabila ditanya untuk tujuan apa, dia hanya berdiam,” katanya ketika ditemui Metro Ahad semalam.
Menurutnya, kini hampir tiga tahun anaknya tidak menjenguk dia sekeluarga di kampung dan sepanjang tempoh itu juga Che Engku Nasuha tidak dapat dihubungi.
“Setelah gagal menghubunginya, kami sekeluarga ke tempat kerjanya di Taiping untuk bertemunya berdasarkan alamat diberikan dulu, namun kami terkejut apabila dimaklumkan penyelia di situ yang anak saya berhenti kerja lebih sebulan lalu dan berhijrah ke Kuala Lumpur,” katanya.
Katanya, sepanjang pengetahuannya dia dan anaknya tidak menghadapi masalah keluarga atau perselisihan faham setelah suaminya meninggal dunia lebih tiga tahun lalu dan sudah dua tahun mereka beraya tanpa kehadiran anak kelima daripada 10 beradik yang masih bujang itu.
“Saya merayu dan memohon Che Engku Nasuha pulang segera kerana terlalu merinduinya, ditambah lagi saya sekarang uzur, selain menyelesaikan satu kes mahkamah mengenai pembahagian harta pusaka di kampung.
“Saya dimaklumkan oleh pegawai yang menguruskan kes harta pusaka itu, jika anak saya tidak pulang atau tidak mendapat maklum balas daripadanya dalam masa tiga bulan, perbicaraan kes berkenaan akan tetap diteruskan tanpa kehadirannya.
“Saya mulai bimbang mengenai keselamatan anak saya lalu membuat laporan di Balai Polis Kuantan, Pahang dan merujuknya di Balai Polis Chukai pada 8 Oktober tahun lalu setelah gagal menghubungi serta berusaha mencarinya di Kuala Lumpur,” katanya sambil berharap orang ramai yang ada maklumat berkaitan supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis (IPD) Kemaman di talian 09-8592222.
No comments:
Post a Comment