Sunday, July 17, 2011

Mempelam sebesar topi keledar


BUKIT PAYONG – Seorang pemandu lori di Kampung Mak Kemas tidak menyangka anak pokok mempelam dibeli di pasar malam Wakaf Dua tiga tahun lalu dan ditanam di pekarangan rumahnya mengeluarkan buah sebesar saiz topi keledar.

Narul Azura@Mohamad Anuar Mohamad, 39, menyedari kelainan pada pokok mempelam itu sejak ia mula berbuah tahun ini.

Malah, hanya pokok itu sahaja menunjukkan kelainan berbanding dua lagi benih pokok mempelam yang dibeli di pasar malam yang sama.

“Apabila melihat buahnya semakin membesar, saya mengambil keputusan membungkus buah itu dengan jaring dan menahan dahan pokok dengan sebatang kayu.

“Saya bimbang dahannya patah atau buah itu gugur sebelum sampai waktunya seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Narul Azura berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Mak Kemas, semalam.

“Sebelum ini beberapa biji buah mempelam bersaiz luar biasa gugur ke tanah kerana dahan pokok itu tidak mampu menampung berat buah yang terlalu besar iaitu melebihi tiga kilogram sebiji,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mendengar dan melihat keanehan berlaku pada buah-buahan seperti pisang serta nanas sebagaimana disiarkan di media massa.

Namun, hari ini dia sendiri berdepan dengan situasi pelik kerana tidak pernah melihat buah mempelam sebesar itu.

“Sehingga hari ini hanya ahli keluarga dan jiran terdekat sahaja mengetahui keunikan buah mempelam ini.

“Kami hairan mengapa benih yang dibeli di pasar malam itu mampu menghasilkan buah sebesar ini,” katanya kepada Sinar Harian.
SH

No comments:

Post a Comment