KUALA LUMPUR – Menjijikkan apabila seekor lipas ditemui digoreng bersama ayam yang dibeli di kantin sebuah pejabat anggota keselamatan berhampiran Jalan Pudu di sini.
Situasi terbabit dialami sendiri oleh anggota keselamatan yang mahu dikenali sebagai Azman, 25, yang mendakwa peniaga kantin terbabit kurang mengamalkan aspek kebersihan yang sepatutnya.
“Sudah dua hingga tiga suap saya makan, saya sedar ketika mengalihkan ayam dan terkejut apabila mendapati terdapat lipas ‘lengkap anggota badan’ turut sama digoreng.
“Ini bukan kes pertama yang berlaku, sudah banyak kejadian lain seperti kaki lipas dan juga lipas kecil dijumpai dalam makanan yang dibeli,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, lebih kesal lagi apabila peniaga kantin terbabit langsung tidak menunjukkan rasa bersalah apabila dia menunjukkan penemuan yang menjijikkan itu.
Katanya, tanpa memohon maaf, peniaga terbabit hanya memulangkan duit RM5 kepadanya sebagai ganti makanan yang tercemar itu.
“Apabila saya adukan kepada pihak pengurusan, jawapan yang diterima amat mendukacitakan apabila saya dituduh cuba menutup periuk nasi peniaga dengan menceritakan kejadian terbabit.
“Bukan niat saya untuk merosakkan perniagaan mereka, tetapi perkara ini perlu pemerhatian serius daripada pihak atas agar mereka lebih menjaga kebersihan,” katanya.
Azman menambah, dia sudah lima tahun bertugas di pejabat berkenaan dan melihat sendiri tahap kebersihan yang diamalkan peniaga kantin yang menjalankan perniagaan di situ sejak tiga tahun lalu.
“Jika tengok dapur masakannya juga tidak bersih, apabila ditegur, dalam tempoh seminggu sahaja keadaan agak bersih, kemudian kembali kotor.
“Perkara ini perlu diambil perhatian dan tindakan sewajarnya kerana ia berhubung kait dengan kesihatan pelanggan apabila makanan yang dibeli tercemar,” katanya kepada Sinar Harian.
No comments:
Post a Comment