Wednesday, August 31, 2011

Azlim kini fasih bahasa Mandarin




MOHAMAD LAZIM (kiri) dan Umi Azmira menunjukkan sepucuk surat daripada Umi Azlim di rumah mereka di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh baru-baru ini.


PASIR PUTEH – Setelah hampir lima tahun meringkuk di sebuah penjara di China, Umi Azlim Mohamad Lazim, 28, kini sudah mampu menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut selain tidak mahu terus meratapi nasib yang menimpa.
Bapanya, Mohamad Lazim Jusoh, 55, memberitahu, anaknya kini bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak penjara termasuk menyertai kumpulan teater.
Menurutnya, melalui surat yang dikirimkan oleh anak sulungnya itu beberapa hari sebelum Ramadan lalu, Umi Azlim memberitahu, dia kini menjadi pengarah dan pelakon dalam satu kumpulan teater di sana.
“Saya bangga kerana dia sudah pandai bertutur dan menulis dalam bahasa Mandarin dengan lancar selepas mempelajarinya melalui seorang guru bahasa.
“Namun, apa yang membimbangkan saya dalam suratnya baru-baru ini, dia meminta saya kirimkan wang untuk membeli vitamin dan beberapa jenis
ubat kerana selera makannya berkurangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Pak Amat di sini baru-baru ini.
Tambahnya, melalui surat tersebut, anaknya memberitahu, berat badannya semakin menurun selain faktor cuaca yang tidak menentu.
Jelasnya, Umi Azlim turut menghantar surat kepada dua ibu saudaranya yang menetap di Johor dan Selangor untuk meminta bantuan kewangan.
“Dia minta RM400 untuk beli ubat termasuk ubat lelah kerana ada asma.
“Dengan pendapatan sebagai seorang mekanik, memang saya tidak mampu tetapi untuk tidak menghampakannya saya kirim antara RM50 dan RM100 sebulan,” ujarnya.
Ditanya perkembangan kes anaknya, Mohamad Lazim memberitahu, dia sendiri tidak tahu sampai bila anaknya akan meringkuk dalam penjara.
“Menurut peguam, proses rayuan untuk membawanya pulang terpaksa ditangguhkan.
“Ia mungkin disebabkan baru selesai kes perbicaraan Umi Azlim yang dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Undang-undang Jenayah Guongzhaou daripada hukuman mati,” jelasnya.
Umi Azlim menggemparkan negara selepas ditahan bersama hampir tiga kilogram heroin dalam bagasinya di Lapangan Terbang Shantou, China pada 19 Januari 2007 selepas empat bulan menamatkan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang sains biologi di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

No comments:

Post a Comment